Sukan Hari Ini

Piala FA: Durakovic Kecewa Perak Gagal Ke Separuh Akhir

Beliau berkata anak buahnya telah menunjukkan permainan terbaik, namun deretan peluang yang diperoleh gagal diterjemahkan ke dalam gawang gol lawan untuk menghasilkan kemenangan.

“Kami mendominasi perlawanan, mendapat banyak peluang untuk menjaringkan gol, terutama melalui sepakan percuma dan sepakan penjuru. Jika deretan peluang itu berjaya disudahkan, sudah tentu suasana perlawanan akan berubah.

“Memang sukar untuk menerima keputusan ini tetapi kesungguhan yang ditunjukkan pemain dalam perlawanan ini, terutama dalam separuh masa kedua, sedikit-sebanyak menggembirakan saya,” katanya dalam sidang media di Stadium Perak sejurus selesai perlawanan.

Terdahulu, keputusan seri 2-2 yang dicatatkan kedua-dua pasukan itu menyaksikan PKNS FC layak ke peringkat separuh akhir dengan agregat 4-3 selepas mencatatkan kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam, 7 April lalu.

Katanya, kekalahan tersebut akan dijadikan iktibar bagi memastikan kesalahan sama tidak diulangi, khususnya dalam kempen Liga Super dan Piala Malaysia.

Sementara itu, jurulatih PKNS FC, Datuk K. Rajagopal, berkata meskipun kemenangan gagal digapai, namun keputusan seri 2-2 yang dicatatkan sudah cukup melayakkan pasukan dari Lembah Klang itu mengisi slot ke peringkat separuh akhir.

Katanya, barisan pemain pasukan berstatus kelab itu juga wajar diberikan kredit kerana berjaya menyerap tekanan selain mengekang asakan yang diketuai awang import Perak, Gilmar Dos.

“Walaupun beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Perak, pemain tidak gugup dan beraksi sepertimana yang diarahkan. Paling penting, kami ke sini untuk meraih keputusan terbaik dan layak ke separuh akhir,” katanya.

Dalam pada itu, Rajagopal yang juga bekas jurulatih kebangsaan menegaskan kelebihan dua gol yang dimiliki pasukannya di awal separuh masa kedua menyebabkan Perak tertekan untuk mencari kemenangan selesa.

“Daripada kelebihan dua gol itu, saya arahkan pemain untuk bertenang dan jangan terlalu kerap untuk melakukan serangan ke kawasan gol lawan kerana ia mampu mengundang bahaya,” katanya. — BERNAMA

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");