Perak Hari Ini

PRU14: Jentera BN Harus Sentiasa Bersedia Hadapi SLMA

KUALA KANGSAR: Setiap ahli dan jentera dalam Barisan Nasional (BN) diingatkan agar sentiasa bersiap-siaga bagi menghadapi ‘serangan mengejut di saat akhir’ (surprise last-minute attacks – SLMA) oleh pihak pembangkang dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14).

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, fitnah dan tomahan pada saat-saat akhir boleh diibaratkan sebagai bom yang mana ia tidak dapat diramalkan bila akan ‘meletup’ dan ‘letupannya’ pula jika tidak ditangani dengan baik, akan menghancurkan persepsi pengundi kepada BN.

Ujarnya, fitnah pembangkang dengan mendakwa kononnya terdapat 100 penerbangan jumbo jet oleh kerajaan untuk membawa masuk warga asing sebagai pengundi pada PRU13 lalu harus dijadikan iktibar oleh jentera-jentera parti.

“Kita harus menolak SLMA mereka kerana ianya tidak lebih hanyalah sebagai perang psikologi yang dicipta untuk melemahkan semangat kita.

“Tetapi saya yakin, pada kali ini, datanglah serangan bertubi-tubi pun, jika kita mempunyai daya juang yang tinggi, pasti kita akan dapat menangkis serangan tersebut, lantas memastikan kita sentiasa berada di saf paling hadapan, sebagai satu pasukan,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan Pilihanraya Umum dan Kecil yang lalu harus diambil iktibar supaya pada PRU14 kali ini, BN dapat memperoleh lebih 2/3 suara di peringkat Parlimen dan juga Dewan Undangan Negeri (DUN).

Jelasnya rakyat di Perak sentiasa meletakkan sandaran yang tinggi kepada BN untuk terus menerajui negeri dan negara ini, demi kepentingan mereka yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan proram Mesra Rakyat di Dewan Jubli Perak, dekat sini,  pada Ahad.

Turut hadir, Pengerusi BN Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Chandan, Maslin Sham Razman, ADUN Manong, Datuk Mohamad Kamil Shafie serta barisan kepimpinan parti-parti komponen BN Negeri dan daerah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");