Berita Hari Ini

Rakyat Perlu Pertimbang 4 Perkara – Najib

TAWAU: Perdana Menteri mengajak rakyat memikirkan siapa yang dapat memberi faedah, keuntungan, selain memenuhi aspirasi dan impian mereka menerusi empat pertimbangan yang perlu diambil kira ketika membuat pilihan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Datuk Seri Najib Razak berkata, perkara pertama ialah siapa yang dapat mengekalkan keharmonian dan hubungan baik antara kaum, budaya serta agama dan kepercayaan di negara ini.

Beliau berkata, ia disusuli aspek kedua berkaitan siapa yang dapat menentukan kestabilan negara, manakala aspek ketiga dan keempat masing-masing mengenai siapa yang dapat menjamin keamanan serta kemajuan ekonomi.

“Pertama, kita perlu lihat siapa yang dapat mengekalkan kehamoniarn dalam negara kita, hubungan serasi antara kaum, agama dan budaya tanpa mengira latar belakang, tetap dalam ikatan yang padu.

“Kedua, kita juga perlu fikir siapa yang tentukan kestabilan negara kerana kestabilan politik adalah punca bagi kita untuk melakukan apa saja.

“Tanpa kestabikan politik, tak mungkin kita dapat bawa pembangunan, tanpa hubungan negeri dan Pusat tak mungkin kita dapat bangunkan Sabah.

“Ketiga, kena fikir siapa yang dapat menentukan keamanan dan saya katakan keamanan Sabah, termasuk di pantai timur ini akan terus dipertahan oleh kerajaan, bahawa setiap rakyat Sabah dan setiap inci tanah Sabah kita akan pertahankan,” katanya memetik sumber Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau Ketujuh, yang dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT), di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman dan isteri, Puan Sri Faridah Tussin; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Sementara itu, Najib berkata, beliau berpegang pada falsafah bahawa peningkatan hasil negara menerusi pelbagai sumbertermasuk cukai barang dan perkhidmatan (GST), cukai individu dan syarikat, serta hasil lain, wajar dimanfaat dengan sebaik mungkin, termasuk mengagihkannya kepada rakyat yang memerlukan.

Katanya, atas falsafah itulah beliau mengumumkan lonjakan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada RM2,000 pada tahun ini berbanding RM1,200 sebelum ini dengan sebanyak RM800 akan diagihkan pada Jun dan Ogos depan, ketika membentangkan manifesto BN, semalam.

“Malam ini saya nak sebut satu perkara… falsafah yang saya pegang bahawa kalau hasil negara bertambah, kita mesti agih kekayaan kepada rakyat, bantu rakyat yang memerlukan.

“Sebab itu bila saya lihat punca pendapatan kerajaan bertambah, saya kata sebagai sebuah kerajaan kita jangan simpan kita beri balik kepada rakyat.

“Saya nak kata (kepada pembangkang) jangan main isu GST dan kos sara hidup kalau tak bagi jawapan. Kita (BN) beri jawapan pada malam tadi menerusi pengumuman peningkatan lima kategori BR1M,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri menzahirkan perasaan sedih atas pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, bulan lalu yang disifatkannya sebagai pemimpin dan sahabat yang banyak berjasa kepada rakyat khususnya di Tawau.

Mengenai festival itu, Najib berkata, ia adalah inisiatif yang membanggakan rakyat Sabah kerana dapat mempamerkan keindahan budaya dan keistimewaan kira-kira 35 etnik serta 217 kumpulan sub etnik di negeri ini, termasuk 29 yang dikenal pasti di Tawau.

“Inilah kekayaan bumi Sabah yang dibanggakan seluruh negara. Festival ini juga mencerminkan bidang pelancongan di Sabah mendapat sambutan yang kian hangat,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");