shadow

Personaliti televisyen Wardina Safiyyah tampil membuat kenyataan berani mengenai pendiriannya terhadap kerajaan sementara BN menjelang pilihan raya umum ke-14.

“Tidak, saya tidak takut untuk menyatakan sokongan saya bukan kepada BN. Saya tidak perlu menjilat sesiapa untuk kerjaya atau berada di televisyen lagi.

“BN tidak memiliki negara ini dan mereka sudah berkuasa terlalu lama,” kata selebriti 38 tahun itu, seperti dilaporkan Roketkini.

Akhbar web DAP yang memetik status di media sosialnya itu melaporkan Wardina menggesa rakyat bangun membuat keputusan terbaik untuk kerajaan baru yang bakal memimpin Malaysia tidak lama lagi.

“Saya mengakui terdapat orang yang baik dan jahat dalam parti. Terdapat juga orang yang begitu hebat dalam BN walaupun cuma sedikit….

“saya juga mengagumi beberapa individu daripada BN dan terdapat beberapa karakter yang saya sangsi dalam Pakatan (Harapan).

“Malaysia, kita memerlukan pemimpin jujur. Mereka yang benar-benar mengambil berat…mereka yang mempunyai kelayakan.

“Saya sudah penat dengan pemimpin bodoh. Dan cukup…cukuplah dengan korupsi dan menjadikan diri kamu kaya-raya. Menyampah,” kata pelakon yang terkenal dengan sitkom Spanar Jaya.

‘Letih’

Sementara itu, gesaan Wardina itu turut ditujukan kepada penjawat awam yang baru-baru ini menerima kenaikan satu tangga gaji tahunan baru-baru ini.

“Kepada penjawat awam, bantu kami melakukan perubahan, jangan ditakutkan. Semoga Allah mempermudahkan.

“Harap tidak ada taktik kotor seperti membakar sentimen agama dan kaum serta fitnah melampau masa kempen.

“Letih,” katanya.

Komen & Pendapat