Berita Hari Ini

SPR Nasihat Pengundi Tidak Percaya Mesej Viral

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menasihatkan pengundi tidak mudah terpengaruh atau percaya dengan mesej yang viral di media sosial kerana ia bertujuan mengelirukan dan secara tidak langsung memberi persepsi negatif kepada petugas pilihan raya.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata, orang ramai disaran merujuk terus kepada SPR bagi mendapatkan kesahihan maklumat diterima mereka.

Beliau berkata, SPR akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) jika didapati penyebaran mesej itu palsu dan tidak benar.

“Antara mesej diviralkan di media sosial baru-baru ini ialah visual kaedah penandaan kertas undi yang dijalankan institusi tidak berkaitan dengan SPR, klip video kononnya kertas undi dibawa keluar petugas dari balai polis tanpa kebenaran dan klip video warga asing menaiki bas disyaki sebagai pengundi hantu.

“Selain itu, terdapat juga penularan teks berkaitan kertas undi mempunyai titik hitam, pautan semakan daftar pemilih yang bertujuan mencuri data peribadi, kaedah pengundian dimanipulasi dan sebagainya yang disifatkan sebagai berita tidak benar bertujuan mengelirukan orang ramai.

“SPR menegaskan kaedah yang betul untuk penandaan pada kertas undi adalah tanda pangkah `X’ dalam salah satu petak calon dipilih pengundi pada kertas undi berkenaan.

“Walaupun tanda lain masih diterima, namun ia bergantung kepada pertimbangan Ketua Tempat Mengundi yang akan memutuskan sama ada penandaan itu dalam kategori undi diterima, undi ragu atau undi ditolak,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Mohd Hashim berkata, bagi kemudahan pengundi, poster panduan cara penandaan kertas undi dengan betul turut dipaparkan pada setiap petak undi bagi memberi panduan kepada pengundi.

Beliau berkata, SPR juga tidak lagi menggunakan pensil dalam urusan pengundian, sebaliknya hanya menggunakan pen mata bola sejak PRU-13 lalu.

“Hanya kerani pengundian pertama saja yang mempunyai pen bagi menanda pemotongan nama pengundi dalam buku daftar Pemilih Pilihan Raya bagi saluran berkenaan, manakala petugas lain tidak dibenarkan mempunyai pen atau pensil untuk mencatat apa-apa pada kertas undi atau bahagian keratan buku kertas undi.

“Setiap kertas undi dicetak akan disemak dan diperiksa teliti pegawai SPR bagi memastikan ia bersih dan tiada sebarang tanda tidak sepatutnya seperti titik hitam sebelum diedarkan untuk pengundian.

“Selain itu, pengundi juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati supaya tidak mengotorkan kertas undi dengan sengaja sama ada dengan dakwat dan sebagainya. Jika kertas undi didapati rosak dengan tidak sengaja, pengundi hanya boleh meminta penukaran kertas undi lain sekali saja,” katanya.

Beliau berkata, Petugas Pilihan Raya membabitkan orang awam menjalankan tugas mereka dengan profesional, telus dan adil serta turut disaksikan wakil calon dilantik atau parti politik bertanding ketika proses pengundian dijalankan di saluran mengundi.

“Jadi, pengundi tidak perlu khuatir terhadap cubaan manipulasi atau penipuan seperti diviralkan itu,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hashim berkata, pengundi yang sudah membuat semakan awal melalui aplikasi Myspr Semak atau secara dalam talian boleh terus menuju ke Tempat Mengundi (saluran) jika sudah mengetahui maklumat saluran mengundi mereka.

“SPR juga sentiasa memastikan pengundi memasuki saluran betul dan tindakan mencelup jari hanya akan dilakukan apabila nama pengundi disahkan terdapat dalam senarai pemilih di saluran berkenaan serta nama masih belum dipotong.

“Jika nama pengundi tiada dalam senarai pemilih di saluran berkenaan, petugas pilihan raya akan mengarahkannya ke saluran mengundi yang betul.

“Sebenarnya semua proses pengundian masih sama, ada barung semakan disediakan SPR bagi kemudahan pengundi membuat semakan daftar pemilih,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");