Jenayah

Suri Rumah Rugi RM34,150 Diperdaya ‘Parcel Scam’

BERA: Seorang suri rumah di sini kerugian RM34,150 akibat terpedaya dengan sindiket ‘parcel scam’ atau penipuan kiriman bungkusan dipercayai kerana terlalu mudah percaya dengan kata-kata manis lelaki warga asing.

Difahamkan mangsa yang berusia 56 tahun berkenalan dengan lelaki berkenaan di Facebook yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Kadir Ibrahim pada hujung bulan lalu.

Tanpa bersua muka dan hanya berhubung secara dalam talian, mangsa yang tinggal di Tembangau di sini, mudah terpedaya dengan pujukan suspek serta mempercayainya tanpa usul periksa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa sering berhubung dengan suspek melalui WhatsApp menggunakan nombor didaftarkan di luar negara iaitu +447938458540.

“Selepas beberapa hari berkenalan, suspek memberitahu dia sudah menghantar sepasang kasut sebagai hadiah perkenalan. Isnin lalu mangsa dihubungi seorang wanita memperkenalkan diri sebagai Nor Azira Ahmad yang memaklumkan barangan berkenaan sudah sampai di Kuala Lumpur.

“Wanita itu memberitahu untuk mengambil barangan itu mangsa perlu membayar caj penghantaran barangan berjumlah RM3,900. Tanpa berfikir panjang mangsa memasukkan wang berkenaan ke satu akaun CIMB diberikan,” katanya sebagaimana dilaporkan BH Online.

Katanya, wanita berkenaan kemudiannya menghubungi mangsa memaklumkan ada wang sebanyak AS$300,000 (RM1.16 juta) dalam bungkusan dan perlu membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM7,900 untuk mendapatkannya.

“Mangsa yang tidak membuat semakan terus memasukkan wang berkenaan ke dalam akuan sama sebelum suspek sekali lagi memintanya membayar lagi GST berjumlah RM22,350,” katanya.

“Mangsa kemudian memasukkan wang itu ke akaun sama pada Selasa lalu, namun tidak lama selepas itu dia gagal menghubungi wanita berkenaan lalu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Bera untuk siasatan,” katanya.

Mohd Wazir berkata, pihaknya sudah mengenal pasti identiti pemilik akaun bank berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");