Jenayah

Tiga Wanita Ditahan Selepas Cabut, Rosakkan Bendera BN

KUALA LUMPUR: Polis menahan tiga wanita disyaki mencabut dan merosakkan bendera Barisan Nasional (BN) di tepi Jalan Leong Yew Koh, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) di sini, tengah malam tadi.

Ketiga-tiga mereka yang berusia 31 dan 37 tahun itu tampil sendiri di Balai Polis TTDI untuk menyerahkan bendera yang dicabut.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata ketiga-tiganya ditahan untuk diambil keterangan dan kes masih disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, iaitu perbuatan khianat.

Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang lelaki yang mendakwa melihat beberapa wanita memotong bendera BN di tepi Jalan Leong Yew Koh.

“Semua bendera berkenaan kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik dan dibawa ke Balai Polis TTDI oleh tiga wanita terbabit.

“Bertindak atas maklumat, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Zon TTDI memeriksa dua kereta dinaiki tiga wanita itu. Mereka memaklumkan tujuan ke balai ialah menyerahkan bendera kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu lapor Astro Awani.

Katanya, turut ditemui bersama wanita terbabit ialah 133 bendera BN, sebilah gunting, satu playar, sebilah pemotong wayar, sebotol ubat nyamuk, satu lampu suluh dan satu peket plastik sampah.

Menurut Mazlan, hasil soal siasat mendapati tiga wanita terbabit adalah penduduk kawasan TTDI, mendakwa tidak terbabit dalam mana-mana parti politik dan perbuatan mereka itu adalah sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.

“Mereka mendakwa bertindak kerana aduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan pemasangan bendera parti sebelum 28 April ini, tidak diambil sebarang tindakan.

“Pihak polis meminta orang ramai melaporkan isu sebegini kepada PBT dan tidak mengambil tindakan sendiri,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");