Perak Hari Ini

Exco Harap Kerajaan Persekutuan Segerakan Janji Untuk Kaum India

IPOH: Kerajaan Perak menggesa kerajaan persekutuan agar segera memperkasakan janji pada Pilihanraya Umum Ke-14 iaitu memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada belia di negara ini, tanpa mengira latar belakang kaum.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A.Sivanesan berharap agar Pakatan Harapan (PH) turut akan segera melaksanakan janji inisiatif 10 peratus quota peluang pekerjaan kepada masyarakat India terhadap semua syarikat milik kerajaan (GLC), agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan.

Jelasnya, beliau akan memanjangkan kepada Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkenaan pelaksanaannya di peringkat persekutuan.

“Hari ini saya menerima aduan kedua, daripada seorang pemuda, berkenaan permohonan pekerjaannya yang ditolak walaupun dia berkelayakkan.

“Masalah seperti ini telah lama berlarutan dan sehingga kini dilihat tiada perubahan. Saya amat berharap anak-anak Malaysia ini akan mendapat pembelaan secara sama rata,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Isnin.

Pada masa sama, M. Devedraa, 25, yang hadir berkata disebabkan telah menganggur dalam tempoh dua tahun, dia akhirnya membuat keputusan mengadukan masalah yang dihadapinya itu kepada Sivanesan.

Bekas graduan Jurutera Kimia,  Univeriti Teknologi Petronas (UTP) itu berkata dirinya telah membuat permohonan pekerjaan lebih daripada 200 syarikat sama ada secara terus mahupun atas talian selain.

“Antara sebab permohonan saya ditolak ialah kerana saya tidak boleh berbahasa Mandarin. Malah terdapat juga syarikat yang hanya mahukan pekerja yang datang daripada kaum-kaum tertentu,” ujarnya yang mendapat tajaan daripada Yayasan UTP.

Ketika ditanya berkenaan peluang pekerjaan di Petronas, Devedraa berkata permohonannya yang telah dibuat pada 2016 telah ditolak atas alasan keadaan eknomi negara yang tidak menentu.

Beliau yang bekerja sebagai guru tutor separuh masa dan pemandu Grab berharap agar permohonan pekerjaannya segera diluluskan supaya dirinya dapat membantu meringankan beban keluarganya yang  kini sedang menanggung dua orang adiknya di Inistitusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan.

Selain itu, Devedraa berkata beberapa minggu lalu beliau telah menghadiri sesi temu duga sebuah syarikat di Pulau Pinang namun, gaji yang ditawarkan kepadanya dirasakan tidak berbaloi.

Dalam pada itu, A.Sivanesan berkata pihaknya akan menghubungi pihak Petronas dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");