Berita Hari Ini

Gani Patail Diberhentikan Sebelum Sempat Dakwa Najib – PM

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan, yang bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, mendakwa sudah membuat persediaan mendakwa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MBD) sebelum digantikan pada 2015.

Perdana Menteri berkata, dakwaan mengenai persediaan pendakwaan itu dibuat Abdul Gani dalam pertemuan mereka di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini, semalam.

“Saya tanya kenapa beliau (Abdul Gani) diberhentikan sebagai Peguam Negara pada 2015.

“Beliau (Abdul Gani) mendakwa sedang membuat persediaan untuk mendakwa Najib tetapi anda tahu apa yang berlaku, pagi itu, beliau diberhentikan daripada jawatannya,” katanya pada sidang media di YKP di sini, hari ini lapor Berita Harian.

Abdul Gani sebelum ini dilaporkan diberhentikan atas sebab kesihatan dan digantikan dengan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, tiada dokumen dikemukakan Abdul Gani dalam pertemuan mereka semalam, cuma beliau memaklumkan perkara itu secara lisan.

Ditanya sama ada kontrak Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun kerana berlaku salah laku, Dr Mahathir berkata, kerajaan masih menjalankan siasatan dan tindakan tertentu perlu diambil bagi melicinkan proses itu.

Ditanya sama ada Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah akan didakwa kerana dikatakan melewat-lewatkan pengumuman keputusan rasmi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Perdana Menteri berkata, individu berkenaan tidak membuat kesalahan.

“Proses biasa akan dilakukan bagi tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan sahaja.

“Saya tidak boleh tangkap dan campak beliau (Mohd Hashim) ke penjara, itu bukan tindakan yang sepatutnya,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");