Sukan Hari Ini

Klopp Tidak Gembira Dengan Asakan Ramos Pada Salah

PENGURUS Liverpool, Jurgen Klopp, membandingkan asakan Sergio Ramos terhadap Mohamed Salah dalam final Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi dengan gusti.

Salah menangis sewaktu digantikan selepas setengah jam perlawanan dalam kekalahan 1-3 Liverpool kepada Real Madrid di Kiev awal pagi tadi ekoran kecederaan bahu selepas dijatuhkan Ramos.

Klopp tidak gembira dengan insiden berkenaan, yang menurut Persatuan Bolasepak (FA) Mesir sebagai kerosakan ligamen di bahunya.

“Tahniah kepada Real Madrid, jangan lupa mereka memenangi UCL. Sudah tentu ia adalah detik besar dalam permainan,” kata pengurus dari Jerman itu dalam sidang media.

“Saya tahu jika anda mengatakan sesuatu seperti itu selepas tewas, ia kedengaran seperti si kalah yang teruk, namun bagi saya, ia satu asakan keras.

“Ia seperti gusti dan malangnya Mo terjatuh seperti itu,” katanya, sebagaimana dilaporkan Stadium Astro.

Liverpool memulakan perlawanan dengan garang, bagaimanapun Madrid mengambil alih sejurus Salah dikeluarkan, dengan penyerang, Gareth Bale- selepas Sadio Mane membatalkan jaringan pembukaan Karim Benzema, menghadirkan perbezaannya.

Klopp mengakui kecederaan pemain antarabangsa Mesir itu membolehkan Madrid mendominasi permainan sambil dia mengeluh dengan cara pasukannya dibolosi dan mengakui penjaga gol, Loris Karius, mengalami mimpi buruk.

“Pemain saya jelas tersentak, kami lebih bertahan dan Real cuba menggunakannya untuk membina momentum positif, lalu membuatkan kami sedikit kucar-kacir,” katanya.

“Ia agak sukar tetapi pada kedudukan 0-0 dalam separuh masa pertama, kami mengubahsuai beberapa perkara – bertahan separuh padang sepertimana yang kami pernah lakukan, kemudian mula menyusun pergerakan.

“Selepas itu, detik penting perlawanan adalah gol, ia agak aneh tetapi begitulah ia terjadi.

“Kami semua tahu keputusannya adalah Real Madrid menang 3-1 dan itulah sebabnya angin kami tidak baik,” tambahnya.

Ramos, yang dikritik hebat, tampil menerusi Twitter selepas perlawanan itu dan berharap Salah pulih dengan segera.

“Kadang-kadang, bola sepak menunjukkan bahawa anda sebuah pasukan yang baik atau buruk,” katanya.

“Di atas segalanya, kami adalah rakan baik.

“Semoga cepat pulih, Salah. Masa depan menanti anda,” cetusnya lagi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");