Jenayah

Saya Tak Lari: Jamal Yunos

SABAK BERNAM: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menafikan menghilangkan diri, sebaliknya mendakwa berlaku salah faham apabila beranggapan proses ikat jamin terhadapnya telah selesai dan sempurna.

Jamal menerusi rakaman suara yang dihantar beliau dalam aplikasi WhatsApp kumpulan media berkata, beliau bergegas keluar dari hospital itu kerana mengejar masa untuk mengeluarkan wang Tabung Haji bagi membiayai kos reman dan sebagainya.

“Pada jam 3. 15 (petang, Jumaat lalu), saya telah selesai kes tersebut dan telah pun keluar dari hospital kerana mendapati reman saya habis, jaminan saya terhadap tuduhan tersebut telah dijamin oleh penjamin saya,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, setelah berjaya mengeluarkan wang, beliau menerima panggilan sedang diburu pihak polis kerana didakwa melarikan diri dari hospital berkenaan.

“Sebab itulah dalam keadaan saya kurang sihat, saya berpendapat lebih baik saya berehat dulu,” katanya.

Menerusi laporan Sinar Online, Jamal memberitahu, beliau akan hadir ke balai polis seperti diarahkan dan memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Bagi saya perkara ini adalah salah faham, kerana pada anggapan saya mungkin proses itu telah pun selesai, tetapi ada beberapa dokumen selepas jaminan yang saya baca tidak tandatangani,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Peguam yang mewakili Jamal, Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, beliau telah dihubungi anak guamnya yang memaklumkan sedia memberikan kerjasama sebaiknya kepada pihak polis untuk menyempurnakan proses ikat jamin tempoh hari.

“Beliau (Jamal) memaklumkan masih belum sihat sepenuhnya dan dalam proses penyembuhan.

“Beliau akan hadir ke mahkamah untuk menyempurnakan proses ikat jamin dan memberikan kerjasama kepada pihak polis setelah sihat,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya berlaku sedikit salah faham, sehingga perkara dan situasi anak guamnya itu telah dieksploitasi dengan tanggapan negatif.

“Beliau tidak melarikan diri dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa serta bersedia untuk memberikan kerjasama yang sewajarnya.

“Pihak peguam juga telah memaklumkan kepada polis berkenaan perkembangan ini dan telah mengambil maklum perkara ini,” katanya.

Jamal dilaporkan, menghilangkan diri dari wad Hospital Pakar Ampang Puteri, petang Jumaat lalu, namun peguam dan penjaminnya masih berada di hospital berkenaan.

Beliau sebelum ini didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada jam 5.30 petang, Jumaat lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");