Perak Hari Ini

Masjid Anyaman Buluh Di Padang Rengas

Perak mempunyai pelbagai lokasi pelancongan yang menarik malah salah satu ruang pelancongan yang belum dikembangkan sepenuhnya ialah pelancongan masjid yang mempunyai kekuatan dan keunikannya tersendiri.

Setiap daerah dan lokasi dalam negeri Perak pastinya memaparkan keunikan seni bina masjid yang tersendiri membawa identiti penduduk di kawasan itu.

Lazimnya masjid dibina menggunakan bahan bata, batu dan kayu bagaimanapun berbeza di Padang Rengas, terdapat sebuah masjid yang menggunakan bahan yang amat istimewa iaitu buluh sebagai bahan binaan utama.

Masjid lama ini dikenali dengan nama masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kuala Dal, Padang Rengas, Perak yang telah dibina pada tahun 1936 dan dirasmikan oleh Sultan Perak ke-30 pada tahun 1938.

Difahamkan reka bentuk dan hiasan masjid diilhamkan oleh baginda berdasarkan seni bina Istana Kenangan di Bukit Chandan dan keseluruhan dinding kelerai (tepas) bermotifkan berlian merupakan anyaman buluh minyak yang telah disiapkan secara bergotong-royong oleh penduduk kampung.

Bangunan masjid yang terbiar dan hampir menyembah bumi itu akhirnya diselamat serta dipulihara Jabatan Warisan Negara pada 2008 dan kini turut menjadi galeri Masjid Ihsaniah Iskandariah.

Struktur utama masjid dan beberapa bahagian kecil masjid ini seperti daun tingkap, daun pintu, kepala tingkap dan pintu diperbuat menggunakan kayu.

Masjid dua tingkat yang berbentuk segi empat tepat turut menempatkan Dewan sembahyang yang terletak di bahagian atas manakala bahagian bawah pula digunakan sebagai tempat serba guna pada hari ini.

Terdapat tiga buah pintu masuk dan pintu masuk ke dewan sembahyang terletak di bahagian tengah yang dibezakan sebagai pintu utama dengan kehadiran tangga batu di hadapannya dan pengunjung akan melihat tangga ke bahagian dewan sembahyang di sebelah atas apabila masuk ruangan tersebut.

Terdapat juga empat set tingkap di sebelah kanan dan kiri di setiap tingkat manakala tingkap di bahagian atas turut dihiasi dengan ukiran kekisi sebagai elemen ciri-ciri keselamatan serta ruang dengan peredaran udara dan pencahayaan yang amat baik.

Berbeza dengan seni bina Melayu yang rata-rata menggunakan bumbung tinggi, masjid ini menggunakan rekaan bumbung rata yang dihiasi dengan ukiran papan cantik di sekelilingnya dan merupakan satu keunikan dalam seni bina masjid Ihsaniah Iskandariah.

Sebelum kerja pemuliharaan, bangunan masjid yang menggunakan anyaman buluh sebagai dindingnya ini hanya menggunakan warna asal buluh yang dinamakan buluh minyak. Namun selepas kerja-kerja itu dijalankan ia telah diperindahkan dengan penggunaan cat berwarna kuning, putih dan hitam yang membentuk motif bunga potong berlian di mana dalam seni Islam ia turut dikenali sebagai corak geometri.

Untuk anda yang berminat melihat secara dekat keunikan masjid ini boleh datang ke Padang Rengas!

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");