Panasnya Hari Ini

Penyandang aktif bantu kempen calon muka baharu

ROMPIN: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, Datuk Wan Kadri Wan Mahusain, aktif membantu kempen calon muka baharu, Datin Samsiah Arshad, bagi memastikan kawasan itu terus dikuasai Barisan Nasional (BN).

Walaupun tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Wan Kadri berkata, adalah menjadi tanggungjawab dan tugasnya untuk turun padang bersama jentera BN.

“Pengalaman sepenggal sebagai wakil rakyat di DUN Bukit Ibam memberi kelebihan kepada saya untuk bertemu pengundi pada program kempen yang diatur.

Pada PRU-13, rakyat menyokong saya. Pada PRU-14, sokongan dialihkan kepada calon baharu (Samsiah) yang tidak kurang hebat dalam politik dan mampu menjalankan tugas dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi pengacara pada majlis perjumpaan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, dengan pengundi wanita di Dewan Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Keratong 1, di sini, semalam.

Wan Kadri berkata, beliau tidak berkecil hati digugurkan daripada bertanding pada PRU-14, sebaliknya reda dan yakin ada hikmah di sebaliknya.

Sebagai bekas pemimpin, beliau berkata, keikhlasan perlu ada dalam diri kerana semua ketentuan sudah tertulis, malah berharap rekod cemerlang BN dapat terus dikekalkan di kawasan Parlimen Rompin.

“Selain DUN Bukit Ibam, saya berkempen untuk calon kerusi DUN Muadzam Shah, Razali Kassim yang juga muka baharu. Adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi nasihat dan panduan kepada mereka.

“Saya ingin melihat BN menang bukan sahaja kerusi Parlimen Rompin tetapi juga semua DUN, termasuk DUN Tioman yang ditandingi Datuk Seri Mohd Johari Hussain,” katanya.

Sementara itu, Shahrizat berkata, beliau bangga dengan semangat ditunjukkan Wan Kadri yang bersama membantu kempen untuk kemenangan BN, terutama di DUN Bukit Ibam selepas digugurkan pada PRU kali ini.

“Beliau tidak menunjukkan perasaan kecewa seperti yang berlaku pada beberapa bekas wakil rakyat sebelum ini.

“Beliau insan istimewa yang mampu menerima keputusan dengan hati terbuka. Saya bangga melihat beliau turut berkempen supaya rakyat terus menyokong BN pada PRU-14,” katanya.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");