Panasnya Hari Ini

‘Shahidan Sepatutnya Dipecat Dari UMNO’

ALOR SETAR: Kepimpinan tertinggi UMNO didesak mengambil tindakan keras terhadap Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, termasuk memecat beliau kerana menderhaka kepada Institusi Raja-raja Melayu.

Naib Ketua Pemuda UMNO bahagian Alor Setar, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata Shahidan sepatutnya dipecat dari dari parti, dan bukannya Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Tegasnya, tindakan Shahidan yang menderhaka dan cuba menghina institusi Raja-raja Melayu bukan sahaja bertentangan dengan prinsip perjuangan UMNO, malah jelas membelangkangi Perlembagaan Negara, Prinsip Rukun Negara, Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis.

“Perbuatan beliau sama sekali melanggar prinsip Perlembagaan UMNO yang jelas sering melaungkan dan mempertahankan institusi Raja Melayu.

“Oleh itu mengikut undang-undang, pada pendapat saya dan cadangan saya kepada kepimpinan UMNO, Datuk Seri Shahidan yang sepatutnya dipecat dari UMNO kerana telah menderhaka pada Institusi Raja raja Melayu yang jelas menentang prinsip prinsip UMNO,” katanya dalam kenyataan media, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Syed Johan membidas Shahidan, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis kerana mengambil tindakan melulu tanpa mengambil kira kesannya ke atas BN jika Dewan Undangan Negeri Perlis terpaksa dibubarkan.

“Sudahlah kita merekodkan pencapaian buruk dalam pilihan raya sehingga ditolak rakyat, janganlah pula menambah masalah baru dengan menunjukan penderhakaan kepada institusi Raja yang mana sememangnya sekina lama dijunjung UMNO dan rakyat.

“Datuk Seri Shahidan bukan sahaja perlu merafak sembah memohon ampun malah perlu akur dengan keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail memperkenan Datuk Seri Azlan Man selaku Menteri Besar untuk penggal kedua,” ujarnya.

Syed Johan menegaskan Shahidan perlu sedar bahawa tujuan UMNO ditubuhkan pada 1946 adalah bagi melindungi kuasa Raja-raja Melayu yang cuba dihakis oleh penjajah British melalui rancangan memperkenalkan Malayan Union.

Tegasnya, kebiadapan Shahidan dengan membawa sembilan orang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memboikot majlis istiadat angkat sumpah Menteri Besar di hadapan Raja Perlis semalam adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Shahidan sepatutnya lebih arif tentang Klausa 4 Undang-undang Tubuh Negeri Perlis yang menyatakan seperti berikut; Pada masa melantik Menteri Besar, maka Raja boleh dengan budi bicaranya sendiri meninggalkan apa-apa syarat dalam Undang-undang Tubuh Ini,” katanya lagi.

Syed Johan berkata pendapat sesetengah pihak yang merujuk kepada peristiwa kes krisis politik Perak melibatkan Datuk Seri Mohammad Nizar melawan Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir, adalah tidak tepat kerana fakta kes itu adalah berbeza.

“Shahidan mesti memahami bahawa kes ini bukan merujuk kepada Menteri Besar hilang majoriti sokongan ADUN, walaupun beliau secara liciknya cuba merujuk dan membina kes ini seperti kes di Perak.

“Isu perundangan di dalam kes Perlis ini mudah, Shahidan tidak punyai kerusi dalam Sidang DUN Perlis, oleh itu beliau tidak boleh buat undi tidak percaya terhadap Menteri Besar seperti mana berlaku di Kedah dan di Perak.

“Beliau menamakan adiknya sebagai Menteri Besar sedangkan mengetahui Raja Perlis tidak menyenanginya dan amat mendukacitakan beliau memilih untuk menyanggah dan menderhaka kepada Raja Perlis dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis,” ujarnya lagi.

Justeru, Syed Johan meminta Jawatankuasa Disiplin, Majlis Tertinggi dan kempinan UMNO untuk mengambil tindakan keras terhadap Shahidan, termasuk memecatnya dari parti kerana melanggar prinsip perjuangan UMNO dan hanya dengan cara ini sajalah maruah UMNO dapat ditebus.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");