Berita Hari Ini

UTC dapat pengiktirafan antarabangsa – PM

KUALA TERENGGANU: Seramai 61 juta pelanggan menerima manfaat daripada pengwujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) sejak diperkenalkan pada 2012 hingga 2016, kata Datuk Seri Najib Razak.

Setakat ini, 21 UTC beroperasi di seluruh negara.

Perdana Menteri berkata, perkhidmatan yang ditawarkan di UTC turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Bank Dunia, badan Komanwel dan di peringkat ASEAN memberikan markah amat tinggi selepas melakukan tinjauan di UTC.

“Perkhidmatan UTC mungkin yang paling atas sekali berbanding segala inisiatif lain kerana tak ada satu negara lain termasuk negara maju yang mampu melakukan seperti kita.

“Mereka begitu terpegun dan ingin tanya apa rahsia Malaysia boleh melakukan perkhidmatan sebegini, nak buat pasport termasuk untuk kali pertama hanya mengambil masa satu jam berbanding negara lain termasuk negara maju yang mengambil masa antara seminggu hingga dua minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan UTC Terengganu di Paya Bunga Square di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Sumber Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan barisan calon Barisan Nasional (BN) Terengganu bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, UTC terbukti mampu menjadikan kehidupan rakyat lebih baik.

“Ada satu cerita benar mengenai satu keluarga yang nyaris terlepas percutian ke luar negara apabila si anak menyedari pasport ibunya akan luput tarikh dalam masa seminggu sedangkan mereka sudah berada di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur).

“Si anak kemudian teringat ada UTC di Puduraya dan terus berkejar ke sana membuat pasport untuk ibunya sebelum berkejar semula ke KLIA dan yang menakjubkan, mereka sempat pergi bercuti. Itu antara cerita kejayaan yang dibawa UTC yang memudahkan hidup rakyat,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Razif, dalam ucapannya berkata, sejak diwujudkan pada 2016, UTC Terengganu sudah memberi perkhidmatan kepada kira-kira sejuta pelanggan.

-Berita Harian

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");