Berita Hari Ini

‘Jamal Tak Lari’

Datuk Mohd Imran Tamrin berkata, walaupun sehingga kini Jamal masih belum menghubunginya, beliau percaya Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar itu tidak akan lari ke luar negara untuk bersembunyi.

“Kita belum tahu di mana lokasi sebenar Datuk Seri Jamal, namun secara peribadi saya tidak rasa beliau boleh melepasi kaunter imigresen untuk ke luar negara atau menggunakan cara tidak sah untuk berbuat demikian.

“Lagipun beliau (Jamal) masih mempunyai cita-cita dalam bidang politik. Justeru, agak mustahil untuk beliau mengambil keputusan keluar dari negara dengan cara yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ditanya mengenai kesahihan satu kenyataan oleh Jamal bahawa dia akan bertanding jawatan Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi penggal 2018-2021, Mohd Imran berkata, Jamal memang pernah menyuarakan hasratnya untuk bertanding jawatan itu.

“Betul. Beliau memang ada maklumkan perkara itu kepada pihak Bahagian UMNO Sungai Besar sejak awal lagi, sebelum dia dimasukkan ke hospital tempoh hari.

“Kami pasukan peguam masih lagi berusaha untuk menghubunginya dan pada masa sama, berharap beliau segera tampil supaya perkara ini dapat diselesaikan segera dengan cara yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat, ketika dihubungi memaklumkan siasatan dan usaha mengesan Jamal masih dijalankan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan Jamal sudah melarikan diri ke Indonesia untuk bersembunyi.

Kelmarin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal kerana gagal tampil dan memberikan kerjasama berhubung siasatan dilakukan ke atas beliau.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah memberikan masa yang cukup kepada Jamal untuk menyerah diri bagi memberikan kerjasama dalam membantu siasatan.

Jamal yang juga Pengerusi Gerakan Baju Merah menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri sebelum proses ikat jamin susulan pendakwaan tiga kes terhadapnya selesai dijalankan, 25 Mei lalu.

Terdahulu, sebuah akhbar tempatan berbahasa Cina melaporkan Jamal dipercayai melarikan diri ke kepulauan Indonesia, 27 Mei lalu menggunakan laluan bot dari Johor.

Jamal dipercayai menuju ke pekan Tanjung Balai Karimun di Pulau Karimun, yang terletak dalam kepulauan Riau, Indonesia.BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");