Sukan Hari Ini

Longhi Akui Sukar Tewaskan Perak

JOHOR BAHRU: Semangat juang dan komitmen tinggi menjadi faktor utama Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu menewaskan Perak 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Ia pandangan pengendali JDT, Raul Longhi sambil mengakui pemainnya sukar menjinakkan skuad The Bos Gaurus yang jelas mampu menyaingi setiap pergerakan pemain Harimau Selatan.

Beliau jelas kurang senang dengan mutu persembahan pada babak pertama apabila pemain gagal memperagakan aksi konsisten dan kerap hilang tumpuan sehingga memberi ruang lawan menguasai posisi tengah.

“Gembira dengan keputusan. Gembira dengan tiga mata tetapi kami harus memperbaiki corak permainan yang longgar terutama pada babak pertama apabila kami tidak bermain seperti biasa dan sering hilang bola di tengah padang.

“Memang sukar menentang Perak, mereka bermain pantas dan kerap menguasai kawasan tengah. Malah mereka memiliki penyerang berbahaya namun saya puji benteng pertahanan yang tampak tenang menghalang beberapa gerakan berbahaya.

“Pada babak kedua kami sajikan corak permainan berbeza dengan menguasai posisi tengah dan Nazmi (Faiz Mansor) serta Hariss yang tenggelam pada babak pertama beraksi dengan baik, menguasai bahagian itu,” katanya memetik sumber laporan Berita Harian.

Pada masa sama, Longhi menafikan pasukannya merindui kelibat Natxo Insa yang masih dalam proses pemulihan dan ketiadaan pemain itu menjejaskan posisi tengah.

Longhi berkata, pemain sedia ada mampu menggalas tugas di posisi berkenaan dan sentiasa berkerja keras untuk menguatkan jentera tengah.

Katanya, Insa mungkin dapat diturunkan dalam tempoh seminggu lagi dan pemain itu sudah mula menjalani latihan namun perlukan masa untuk pulih sepenuhnya bagi menguatkan semula posisi tengah.

Mengulas mengenai penampilan pertama import baharu JDT, Fernando Marquez, pengendali kelahiran Argentina itu menegaskan dia hanya turun berlatih sehari sebelum aksi menentang Perak dan latihan itu diadakan sebaik tiba dari Argentina.

“Fernando tetap beri komitmen tinggi walaupun melakukan penampilan pertama dan saya tahu dia tampak penat sebab itu saya mengeluarkannya pada minit ke-68. Saya optimis dia akan menyesuaikan diri dalam tempoh terdekat,” kata Longhi.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");