Perak Hari Ini

Kerajaan Negeri Tubuh Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Koridor

IPOH: Dalam menjadikan Perak ke arah negeri yang mesra pelabur, kerajaan negeri hari ini mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Koridor.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin berkata badan yang diletakkan dibawah porfolionya itu akan bertindak sebagai penasihat dalam bidang-bidang pelaburan negeri.

Tambahnya, majlis yang dianggotai tujuh orang pakar industri tersebut juga akan berbincang dan memberi cadangan kepada kerajaan negeri terhadap bentuk-bentuk pelaburan yang sesuai serta pembinaan tapak-tapak industri bertaraf antarabangsa.

Jelas Nizar, lima daripada mereka merupakan individu profesional yang tidak ada kena mengena dengan mana-mana badan parti politik.

Mereka adalah, pakar ekonomi antarabangsa, Dr Lim Teck Ghee; Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn. Bhd., Tan Sri Yong Poh Kon; pakar pelaburan industri pelancongan, Darren Ng Sau Foong; pemain industri, Clarence Cheah serta mantan Ketua Eksekutif Invest Perak, Datuk Ir. Muhammad Hafni Ibrahim.

“Dua lagi yang menganggotai majlis tersebut ialah Exco kerajaan negeri, Howard Lee Chuan How dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin.

“Howard dipilih kerana pengalaman luasnya di luar negara dan bagi Muhd Fadhil pula kerana pengalamanya selama 26 tahun dalam bidang kejuruteraan serta pelaburan,” katanya.

Ujar Nizar, selain menasihati kerajaan negeri, Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Koridor juga akan menjadi penasihat kepada Perak Investment Management Centre (InvestPerak) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri selaku badan pelaksana.

Jelasnya, mesyuarat pertama majlis tersebut akan berlansung pada pagi 26 Jun ini, di pejabatnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pada Jumaat.

Pada perkembangan sama, Nizar turut mengumumkan penerimaan sumbangan Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM50,000 daripada lima buah syarikat tempatan.

Beliau yang tidak menyebut  secara khusus nama syarikat tersebut, jelasnya sebahagian besar ianya datang daripada industri perlombongan.

Kesemua cek sumbangan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Eksekutif Seketeriat Pakatan Harapan Perak, Sasha Veriah.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");