Berita Hari Ini

Muhyiddin: Indonesia Akan Tahan, Hantar Jamal Ke Malaysia

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Datuk Seri Jamal Yunos sedang bersembunyi di Indonesia dan pihak berkuasa negara itu akan menangkap ketua Umno bahagian Sungai Besar itu.

“Kita telah bekerjasama dengan polis Indonesia dan semuanya berjalan lancar.

“Mereka berikan bayangan tindakan susulan untuk menahan Jamal. Kita akan ambil tindakan dan bawa beliau balik ke Malaysia,” katanya selepas Majlis Aidilfitri Ketua Polis Negara di Bukit Aman hari ini.

Pada 7 Jun lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya sudah mendapatkan kerjasama Indonesia untuk membantu mengesan Jamal yang dipercayai melarikan diri ke negara jiran itu menggunakan laluan tikus.

Jamal, 48, menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, ketika polis dan peguam sedang melakukan dokumentasi ikat jamin, selepas beliau didakwa atas 3 pertuduhan di depan seorang majistret pada 25 Mei lalu.

Beliau mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan.

Satu waran tangkap dikeluarkan ke atas Jamal selepas itu, tetapi beliau menafikan melarikan diri dari pihak berkuasa atau berada di luar negara, sebaliknya ia cuma salah faham kerana menyangka proses ikat jamin sudah selesai pada hari itu.

Jamal dalam satu rakaman video meminta pihak berkuasa tidak perlu bekerjasama dengan Interpol untuk memburunya kerana kesalahan yang dilakukannya amat kecil dan tidak mengancam keselamatan orang ramai.

Cadang pasukan khas polis dibubarkan

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga menteri dalam negeri berkata, kementeriannya mencadangkan beberapa pasukan khas dibubarkan dan laporan itu dijangka siap dalam masa 2 minggu.

“Kita ada skop manual untuk membaiki keadaan, baik dari segi operasi, hubungan dengan masyarakat dan pengurusan.

“Yang penting hasilnya, ia dapat meletakkan Malaysia sebagai salah satu kawasan yang paling selamat.”

Fuzi mengesahkan pasukan khas itu termasuk Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING), Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) dan Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG).

Katanya, beliau akan menghantar laporan itu kepada Kementerian Dalam Negeri.

Pada 17 Jun lalu, Muhyiddin berkata, Jabatan Imigresen dan polis akan dirombak serta disusun semula kerana struktur yang disifatkannya “berserabut” dan menerima aduan tertinggi daripada orang ramai.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");