Sukan Hari Ini

Neymar Ada Sasaran Peribadi

SOCHI, Russia: Sepanjang tempoh tiga bulan seluruh negara khuatir ia tidak akan berlaku, tetapi Neymar akan turun padang bersama rakan sepasukan Brazil apabila mereka bakal memulakan kempen Piala Dunia menentang Switzerland, awal pagi Isnin.

Pemain termahal dunia itu kelihatan pulih sepenuhnya daripada keretakan kaki yang memerlukan pembedahan pada Mac, dengan perkara dibimbangkan adalah tahap kecergasannya.

Sejak menderita gara-gara kecederaan ketika perlawanan Paris Saint-Germain menentang Marseille pada hujung Februari, Neymar hanya dapat beraksi selama 129 minit.

Tempoh beraksi itu hadir menerusi perlawanan persahabatan Brazil baru-baru ini, dengan dia menjaringkan gol sebagai pemain gantian menentang Croatia dan aksi cemerlang ketika melakar kemenangan terhadap Austria minggu lalu.

“Selepas tiga bulan, dan bermain hanya satu perlawanan dan setengah perlawanan, dia sudah bermain di peringkat tertinggi. Tiada siapa menjangka perkara itu. Juga dirinya sendiri,” kata Thiago Silva, rakan karib Neymar dan rakan sepasukan di PSG, menerusi laporan laman sawang Brazil, Globoesporte.

Pemain berusia 26 tahun itu yang menganggap tempoh memanaskan bangku simpanan adalah titik paling rendah sepanjang kariernya, menunjukkan semangat tinggi minggu ini bersama skuad kendalian Tite di Russia – spekulasi mengenai masa depannya yang dikaitkan dengan Real Madrid juga dilupakan seketika.

Brazil akan berdepan pasukan ranking keenam dunia Switzerland dalam aksi pembukaan Kumpulan E sebelum bertemu Costa Rica dan Serbia.

Sasaran utama anak buah Tite ialah menjulang trofi Piala Dunia buat kali keenam, tetapi Neymar turut mempunyai sasaran peribadi.

Hujung minggu lalu dia menjaringkan gol antarabangsa ke-55 dirinya, menyamai pencapaian Romario dalam senarai sepanjang zaman Brazil. Hanya ada dua pemain yang berada di atasnya ketika ini – Ronaldo (62 gol) dan Pele (77). – AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");