Panasnya Hari Ini

Saya Jadi Jurucakap Tegur Najib: Annuar

SHAH ALAM – Calon Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa menjadi wakil jurucakap ahli Kabinet dan Majlis Tertinggi bersemuka dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu RM2.6 bilion.

Meskipun tidak mendedahkan butir pertemuan secara terperinci namun menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau menyampaikan kebimbangan pimpinan tertinggi Umno kemungkinan parti itu tewas dalam PRU14 sekiranya beberapa isu tidak ditangani.

Beliau menyerahkan memorandum tiga muka surat yang didakwanya mengandungi kata-kata pedas sebagai sahabat untuk Najib.

“Ramai orang tak tahu saya menjadi jurucakap kepada satu kumpulan anggota Kabinet dan Majlis Tertinggi untuk berdepan Najib berhubung isu RM2.6 bilion menuntut jawapan daripada beliau.

“Ini tidak disiarkan di luar. Ini baru saya sebut kali pertama. Saya juga orang yang pergi ke pejabat beliau membawa memorandum bertulis daripada kawan-kawan Majlis Tertinggi bahawa dalam PRU14, Umno boleh kehilangan kuasa, boleh kalah kalau perkara-perkara tertentu 1,2,3,4 ini tidak diurus dengan baik oleh kerajaan,” katanya memetik laporan Sinar harian selepas menjadi tetamu dalam siaran langsung FBLive Sinar Harian, ‘Signifikan Jawatan Timbalan Presiden Umno’ di sini, hari ini.

Dedahnya lagi, kumpulan itu turut disertai salah seorang menteri besar ketika itu serta pimpinan Majlis Tertinggi lain.

“Soal teguran…bagaimana saya menegur Najib secara bertulis, tiga muka surat…menteri besar dan beberapa orang duduk bersama untuk memberi teguran bukan sahaja secara lisan tapi juga dalam tulisan.

“Enam orang daripada kami pergi ke pejabat Najib dan selepas bertabik minta maaf dengan dia kita kemukakan. Kita beritahu dia, kita nak cakap terus terang.

“Saya percaya sampai sekarang pun (bekas) Perdana Menteri masih ingat ayat-ayat, bait-bait yang kita tulis di situ, cukup pedas tapi sebagai sahabat,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar berkata teguran dibuat secara berhemah sebagai etika menegur dalam jemaah.

“Tegurannya memang hebat sekali. Kita kalau nak menegur dalam satu jemaah ada etika dalam Islam. Kalau nak tegur kena dengan cara yang hasanah. Dalam jemaah kita tak bolehlah bantai kawan di luar kononnya dengan semangat nak menegur sehinggakan rosak jemaah.

“Tak boleh. Islam tidak membenarkan begitu, adab Melayu juga tidak membenarkan begitu apatah lagi kita jangan ada niat nak ambil kesempatan daripada perkara yang sedang dihadapi rakan seperjuangan,” katanya.

Beliau tegas menafikan dakwaan tiada mana-mana pimpinan berani menegur bekas Presiden Umno itu ketika pelbagai isu dibangkitkan hingga menyebabkan BN rebah dalam PRU14 lalu.

“(Tiada yang berani menegur) Itu sangat-sangat salah kerana secara dalaman kami telah berbincang dengan hebat, tegur dengan hebat dalam Majlis Tertinggi, beberapa orang ahli Majlis Tertinggi membuat suara teguran yang cukup keras hingga ada memorandum bertulis.

“Sebenarnya proses itu sudah pun ada dan berlaku. Jadi kalau saya sekarang ini dipilih sebagai timbalan, melihat betul ramalan kita akan hilang kuasa kalau kita tidak urus parti kita dengan baik.

“Maka cabaran paling besar ialah untuk memastikan membantu seorang Presiden melakukan perubahan cukup drastik bukan sahaja dengan kelemahan yang ada pada kita yang perlu wajib diperbaiki tapi kerana kita sekarang pembangkang,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");