Panasnya Hari Ini

Umno: PH Tidak Akan Kekal, Dr M Dan Anwar Akan Berpecah

KUALA LUMPUR: Seorang calon pemilihan Umno, Datuk Lokman Noor Adam percaya sama ada Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad akan kembali kepada Umno dan meramalkan perpecahan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Lokman yang juga bekas ahli PKR, berkata terdapat tanda ketidakserasian antara Anwar dan Dr Mahathir.

“Sama ada Dr Mahathir atau Anwar yang terlebih dahulu menyertai Umno. Tidak ada cara bagaimana Anwar boleh bekerjasama dengan Dr Mahathir,” katanya.

Beliau memberitahu FMT dalam temu bual semalam: “Saya boleh memberi jaminan kepada anda bahawa kerajaan sekarang tidak akan kekal apabila tempoh pemerintahannya berakhir,” katanya merujuk PH yang membentuk kerajaan Persekutuan dan memegang kuasa sehingga pilihan raya akan datang, yang dijangka pada 2023.

Bekas setiausaha Pemuda PKR yang kembali kepada Umno itu, berkata konflik antara Anwar dan Dr Mahathir dapat dilihat dengan cara ahli PH mengutuk Anwar secara tidak langsung di media sosial.

“Malah Dr Mahathir bimbang dan mahu mendapat lebih sokongan daripada partinya. Dr Mahathir bertuah jika dia kekal sebagai perdana menteri untuk jangka masa panjang; saya menjangkakan Anwar akan menjadi perdana menteri bila-bila masa selepas dia dipilih sebagai ahli parlimen,” katanya.

Anwar dibebaskan dari penjara atas pengampunan diraja Mei lalu dan berkata beliau akan bertanding sebagai ahli parlimen tidak lama lagi, tetapi kini hanya menjadi ahli kelab penyokong kerajaan.

PH mempunyai perjanjian di mana Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir, tetapi tidak ada tempoh ditetapkan dan tidak jelas berapa lama Dr Mahathir akan memegang jawatan itu.

Lokman, 45, yang juga bekas pengarah komunikasi strategik Kementerian Kewangan adalah calon dalam pemilihan Umno yang akan diadakan pada 30 Jun ini. Beliau berharap dipilih sama ada sebagai pemimpin Pemuda Umno atau Majlis Tertinggi.

Beliau juga mendakwa Dr Mahathir mempunyai “tangan” dalam pemilihan Umno. “Saya tahu Dr Mahathir menghantar orangnya. Ada di antara mereka menawarkan dana kepada kepimpinan kami supaya mereka dapat memiliki kepimpinan persahabatan dengan Umno. Kami tahu,” katanya.

Katanya, Dr Mahathir memerlukan rakan Umno untuk partinya, PPBM yang hanya memegang 13 kerusi di Dewan Rakyat, menjadikannya “sangat mudah diserang” dan mudah “ditendang sebagai perdana menteri pada bila-bila masa.”

PH dan sekutunya di Sabah memegang 125 kerusi. PKR memegang 50, DAP 42, Amanah 11, Warisan 8 dan Upko 1.

Umno memenangi 54 kerusi, menjadikan parti itu sebagai parti tunggal terbesar dalam Dewan, kata Lokman.

Parti pembangkang yang lain adalah gabungan parti Sarawak yang memegang 19 kerusi, serta PAS dan sekutunya 18.

Lokman berkata beliau memahami bagaiamana perasaan Anwar yang bekerjasama dengan Dr Mahathir, yang menolaknya sebagai timbalan perdana menteri dan juga mengusirnya dari parti pada 1998.

“Saya tahu perasaan Anwar, saya tahu perasaan keluarganya. Mereka boleh berpura-pura tetapi mereka tidak boleh menipu penyokong mereka dan mereka yang menyokongnya sebelum ini. Sebab itulah PH tidak boleh kekal sebagai 1 gabungan sehingga tempoh mereka berakhir.

“Saya dipecat dari Umno pada 1998 kerana mengatakan Dr Mahathir pembohong. Pada 2004 saya dipecat dari PKR kerana mempersoalkan penyelewengan dana parti. Tuduhan ini serius dan memburukkan imej saya,” katanya.

Beliau berkata kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum bulan lalu kerana kegagalan menentang serangan PH terhadap 1MDB dan aliran RM2.6 bilion menerusi akaun bank bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Apabila pembangkang membicarakan isu ini, rakyat pula menyebarkannya tetapi mereka tidak mendengar penjelasan kami,” katanya.

Beliau percaya akan ada sokongan semula daripada pengundi Cina Malaysia yang begitu menyokong PH, selepas semua parti berasaskan Melayu, seperti PAS, PKR atau PPBM dan Warisan bergabung.

“Apabila kami dapat menyatukan orang Melayu, orang Cina akan kembali kepada kami. Malah jangan terkejut kalau DAP juga akhirnya menyertai kami. Orang Cina akan tahu mereka akan kehilangan perwakilan dalam politik jika mereka tidak bersatu,” kata Lokman.

Bagaimanapun, perubahan diperlukan dalam Umno untuk dilihat sebagai wakil rakyat dan bukan sebagai golongan elit parti.

“Cara kami membawa diri, apa yang kami pakai, kereta yang kami pandu – orang merasa kami terlibat dalam rasuah. Tetapi kebanyakan ahli parlimen kaya-raya sebelum menjadi ahli parlimen. ”

Beliau berkata Umno akan mencari jalan untuk mengukuhkan parti selepas pemilihan parti pada 30 Jun ini.-FMT

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");