Sukan Hari Ini

BAM Fokus Pemain Muda

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan gemilang diraih Datuk Lee Chong Wei yang merekodkan gelaran ke-12 Terbuka Malaysia, semalam, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyuarakan kebimbangan betapa kecemerlangan itu tidak dapat diteruskan jika pemain berusia 36 tahun itu bersara.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengakui kegagalan pemain senior negara yang lain menghasilkan keputusan positif membuatkan badan induk itu sedar mereka perlu mencari formula terbaik untuk memastikan legasi bakal ditinggalkan Chong Wei berterusan.

“Kami gembira dan bangga dengan kejayaan Chong Wei tetapi dalam masa sama turut bimbang dengan pemain sedia ada yang lain.

“Apabila Chong Wei tiada suatu hari nanti, kami bimbang kita masih ketandusan pemain yang mampu menarik penonton seperti hari ini (semalam), yang mampu membawa rakyat Malaysia bersatu dan yang mampu membawa faktor yang positif,” kata Norza, sebagaimana dilaporkan Harian Metro.

Jadi, Norza berkata, Ahli Majlis BAM sebulat suara bersetuju untuk melakukan pelaburan ke atas pemain muda yang sudah mula menunjukkan potensi mereka dalam beberapa kejohanan kebelakangan ini termasuk Terbuka Malaysia.

“Saya sudah mendapat persetujuan ahli majlis untuk memberi tempoh kepada pemain senior membuktikan kemampuan sebenar mereka. Kita tidak lagi akan memberi tempoh yang lama untuk mereka meningkatkan prestasi.

“Kami akan meneruskan dengan perancangan untuk melabur ke atas pemain muda seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Goh Jin Wei (perseorangan wanita) dan Lee Ying Ying (perseorangan wanita). Ini juga termasuk perseorangan lelaki seperti Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao.

Dalam perkembangan lain, Norza berjanji BAM akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Chong Wei dalam usahanya merealisasikan impian beraksi pada Olimpik Tokyo 2020.

“BAM akan beri segala kemudahan yang diperlukan Chong Wei. Selagi dia kekal sebagai pemain nombor satu negara dan tiada mana-mana pemain negara dapat mengatasinya, dia tetap pemain terbaik yang kita ada.

“Dengan kejayaan di Terbuka Malaysia, dia sudah membuktikan kepada rakyat Malaysia yang dia mampu melangkah lebih jauh lagi terutama dalam merealisasikan impiannya meraih gelaran pada kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia dan Olimpik.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");