Perak Hari Ini

Dasar Yang Baik Akan Dikekal Tapi Ditambah Baik-Menteri Pendidikan

SUNGAI SIPUT:Kementerian Pendidikan akan memastikan mana-mana dasar terdahulu yang diyakini sudah baik akan diteruskan namun penambahbaikan akan dilaksanakan jika perlu  perlu.

Menterinya, Dr.Maszlee Malik berkata kerajaan sentiasa berlapang dada untuk mendengar pandangan mahupun kritikan daripada semua pihak.

Malah katanya, setiap perkara akan dinilai seadil-adilnya tanpa dibelenggu oleh kepentingan diri atau peribadi mana-mana pihak yang lain.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan semasa majlis perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Bawong di sini hari ini.

Terdahulu Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bawong di sini hari ini dan turut berangkat sama Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu beliau turut menegaskan bagi mendepani dunia tanpa sempadan ini, corak dan gaya pengajaran guru di dalam bilik darjah seharusnya mengalami perubahan.

“Perubahan itu adalah reformasi pengajaran dan pembelajaran perlu berlaku seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi yang kita kecapi pada hari ini.Guru-guru perlu memanfaatkan segala ruang yang ada seperti kemudahan capaian Internet dan teknologi komputer dalam tugas menyampaikan ilmu.

“Pembelajaran dan pengajaran guru juga haruslah mampu memberikan keberkesanan dari segi pemahaman murid dan pengaplikasiannya bagi menyediakan modal insan yang bersesuaian dengan Perkembangan Industri Revolusi 4.0.

“Kementerian Pendidikan sendiri telah menekankan konsep Pembelajaran Abad ke-21 atau PAK21 yang lebih menyeronokkan murid-murid dan memberikan impak yang tinggi dari segi keberkesanannya,” katanya.

Jelas Mazlee lagi, para guru juga tidak lagi wajar sekadar menggunakan buku dan papan tulis seperti guru-guru pada awal kemerdekaan dahulu berikutan perubahan zaman dan teknologi maklumat serta komunikasi yang kian pesat pada masa ini.

“Proses pendidikan di dalam bilik darjah amat menekankan kemahiran ‘Berfikir Aras Tinggi’ atau KBAT dalam kalangan murid.Pada hakikatnya, perkara ini amat selari dengan konsep pendidikan di negara-negara maju yang menekankan perkara ini sejak sekian lama.

“Saya amat yakin dan percaya guru-guru amat arif tentang hal ini dan sudah pun mengaplikasikannya dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");