Perak Hari Ini

DUN Perak Ke-14 : Ngeh Koo Ham Dilantik Speaker, Aminuddin Zulkipli Timbalan

IPOH:  Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Nama Penasihat DAP negeri yang dicadangkan Adun Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari telah mendapat 31 undi dikalangan ahli dewan.

Sebelum pengundian berlaku, Setiausaha  Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Kamarulariffin Ayub mengumumkan bahawa pihaknya telah menerima tiga nama yang dicadangkan bagi jawatan tersebut.

Selain Koo Ham, antara nama yang dicalonkan ialah Timbalan Speaker penggal lalu,  Datuk Mohd Nasharuddin Hashim dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki.

Menurut Kamarulariffin, pencalonan telah dibuka pada 7 Jun sehingga 26 Jun.

Terdahulu, berlaku sedikit perdebatan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) apabila wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan Pas mendakwa sebenarnya terdapat empat nama yang dihantar selain meminta beliau menamakan calon yang keempat tersebut.

Datuk Saarani Mohamad (BN- Kota Tampan), Datuk Abd Manaf Hashim (BN- Pengkalan Baharu), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (BN- Pangkor) dan Razman Zakaria (Pas- Gunung Semanggol) antara wakil pembangkang yang bangkit meminta penjelasan daripada Setiausaha Dewan Negeri.

Kamarulariffin mengakui memang terdapat empat nama namun, individu yang dicalonkan itu telah menarik diri pada saat-saat akhir.

“Mengikut perintah tetap, sekiranya calon menarik diri, tiada keperluan nama diumumkan. Jika terdapat nama lebih daripada seorang, maka proses pengundian boleh dilakukan,” katanya dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama DUN 14, hari ini.

Sedikit pergeseran turut berlaku antara Abd Manaf dengan Asmuni Awi (Amanah – Manjoi).

Kekecohan yang berlaku sekitar 30 minit itu akhirnya reda apabila Setiausaha Dewan Negeri mengumumkan pengundian tetap dijalankan.

Selain itu, Aminuddin Zulkipli (Amanah- Behrang), 49, pula dilantik sebagai Timbalan Speaker selepas tiada nama lain yang dicadangkan.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");