Berita Hari Ini

Ini Tidak Betul Dan Fitnah – Sivarasa

KUALA LUMPUR : Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R Sivarasa menafikan dakwaan beliau mengesyorkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dibuka kepada semua kaum.

Memetik laporan BH Online, Ahli Parlimen Sungai Buloh itu berkata beliau tidak pernah membincangkan syor berkenaan sebagaimana didakwa segelintir pihak sehingga tular di media sosial.

Beliau turut menafikan dakwaan cuba menukar nama MRSM kepada Maktab Rendah Sains Malaysia.

“Ini tidak betul dan fitnah. Harap tidak diulang. Cadangan kepada tukar nama (MRSM) tidak pernah dibuat.

“Cadangan (kemasukan terbuka) pun tidak betul. Tidak pernah dibuat,” katanya.

Sivarasa yang pernah terpalit isu memberi ceramah politik di Masjid An-Nur Kampung Melayu Subang, berkata lawatannya ke Ibu Pejabat MARA, Kuala Lumpur, beberapa hari lalu, membincangkan sistem kuota sedia ada.

“Apa yang dibincang ialah dasar Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang sedia ada untuk memperuntukkan 10 peratus tempat di MSRM untuk penuntut bukan Bumiputera.

“MARA ada beritahu (maklum) sebahagian besar kuota masih tidak diisikan,” katanya.

Ketika ditanya keputusan dan perancangan beliau berkaitan sistem kuota sedia ada, Sivarasa enggan mengulas lanjut.

“Isu ‘keputusan’ tidak berbangkit. Dasar ini sudah lama,” katanya.

Semalam, kecoh apabila tersebar satu paparan WhatsApp membabitkan seorang ‘individu’ yang dipercayai bersama dalam pertemuan Sivarasa di Ibu Pejabat MARA, di sini.

“Dalam taklimat kepada MARA hari tu dia boleh persoalkan tak boleh ke MARA dibuka untuk semua?” katanya dalam paparan WhatsApp.

MARA ditubuhkan pada 1 Mac 1966 bertujuan memajukan, menggalakkan, memudahkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan Bumiputera dalam persekutuan khususnya di kawasan luar bandar.

Pada Jun 2002, kerajaan memutuskan peruntukkan kuota 10 peratus kepada bukan Bumiputera di MRSM dan Program Matrikulasi untuk perancangan jangka panjang bagi memperkukuhkan integrasi kaum.

Ketika itu, Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Abdul Aziz Shamsuddin, berkata keputusan itu sama sekali tidak berniat untuk menjejaskan kepentingan pendidikan orang Melayu.

Sistem kuota itu dilaksanakan di semua MRSM di Semenanjung kecuali di MRSM Kinarut, Sabah dan Kuching, Sarawak yang telah dikhususkan 100 peratus untuk Bumiputera.

Difahamkan, kuota 10 peratus bukan isu baharu kerana pernah dicadangkan bekas Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, ketika kerajaan bersetuju menubuhkan MRSM kerana mahu melihat pelajar Melayu bersaing dengan kaum lain.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");