Berita Hari Ini

Isu speaker Dewan Rakyat, Najib tanya: Mengapa salahkah saya?

Malah kata ketua Umno Pekan itu, menuding jari kepada beliau sudah menjadi prosedur operasi standard (SOP) bagi HARAPAN dan ia perlu dihentikan.

Najib juga membangkitkan kemungkinan SOP menyalahkan dirinya akan terus diamalkan kerajaan HARAPAN untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Alasan seumpama ini adalah tidak adil bagi rakyat, apatah lagi, mereka mengharapkan yang lebih baik daripada kerajaan baru. Atau adakah mereka akan terus dibelenggu dengan harapan?” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Najib yang kini berdepan tuduhan jenayah di mahkamah mengulas mengenai isu pelantikan speaker Dewan Rakyat yang sehingga kini belum dinamakan.

Menurut beliau peraturan jelas menyatakan nama seseorang calon speaker perlu dikemukakan kepada sekretariat parlimen sekurang-kurangnya 14 hari sebelum sidang bermula.

Untuk rekod sidang Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung 16 Julai.

“Ketika ini, hanya tinggal dua hari sahaja lagi sebelum parlimen bermula, (namun) identiti tuan yang dipertua (speaker) masih belum dikenal pasti, dan ini menjurus kepada pelbagai debat awam terhadap siapakah yang akan mengisi jawatan itu.

“Parlimen adalah badan tertinggi negara ini. Adakah Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat ini dipatuhi?

“Jika tidak mampu mematuhi peraturan badan tertinggi negara, bagaimana mahu mengakui bahawa kerajaan baru ini mentadbir berasaskan kepada kedaulatan undang-undang?” katanya lagi.

Najib yang berundur selepas gagal membawa BN mendapat mandat rakyat untuk kekal menjadi kerajaan juga mengecam salah seorang menteri yang mendakwa isu pelantikan speaker sengaja disensasikan bagi mengalih perhatian daripada isu yang melandanya.

“Saya bukan lagi perdana menteri atau berada dalam kerajaan, maka kenapa pula saya dipersalahkan terhadap isu pelantikan speaker ini?

“Seperti cerita hutang negara RM1 trilion kerajaan HARAPAN bersandarkan definisi sendiri yang tiada negara lain dalam dunia gunakan, nama saya terus diperalatkan sebagai alasan serta dipersalahkan setiap kali kerajaan gagal mentadbir dengan baik atau gagal menunaikan janji manis manifesto mereka,” katanya.

Sekarang kata Najib wujud perdebatan kalangan rakyat serta pertubuhan bukan kerajaan mengenai kesahihan keluhuran undang-undang dipatuhi dalam isu pelantikan speaker Dewan Rakyat.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");