Berita Hari Ini

Lapan Remaja Diselamatkan Sihat, Boleh Bercakap, Makan

CHIANG RAI – THAILAND. Kesemua lapan remaja lelaki dibawa keluar dari gua Tham Luang yang banjir berada dalam keadaan sihat pada pagi Selasa selepas dirawat kerana suhu badan rendah dan jangkitan paru-paru yang disyaki di hospital, lapor Bangkok Post memetik kenyataan Kementerian Kesihatan Awam.

Setibanya mereka di hospital, kelapan-lapan pemain bola sepak remaja itu diberikan pemeriksaan perubatan serta menerima nutrien, vitamin, vaksin dan antibiotik, kata setiausaha tetap bagi kesihatan, Dr Jessada Chokdamrongsuk, kepada pemberita di Hospital Chiangrai Prachanukroh.

Kumpulan pertama empat remaja, yang berusia lingkungan 14 hingga 16 tahun, telah dibawa keluar pada Ahad dan mempunyai suhu badan rendah.

Dua daripada mereka telah didiagnosis dengan jangkitan paru-paru dan seorang daripada mereka mengalami kecederaan di pergelangan kaki kanannya.

Kumpulan kedua empat remaja, yang berusia lingkungan 12 hingga 14 tahun, juga tiba di hospital dengan suhu badan rendah dan seorang daripada mereka mempunyai denyutan nadi yang luar biasa perlahan.

Selepas menerima rawatan, kesemuanya berada dalam keadaan baik pada pagi Selasa, kata Dr Jessada.

Kesemua remaja terbabit juga berada dalam keadaan psikologi yang baik, mampu bercakap dan tiada yang demam.

Bagaimanapun, jumlah sel darah putih mereka pada mulanya tinggi dan para doktor kini menanti keputusan ujian makmal, yang dijangka diperoleh dalam tempoh beberapa hari lagi, untuk mengetahui sama ada mereka dijangkiti sebarang penyakit.

Kumpulan pertama empat remaja telahpun bertemu keluarga masing-masing melalui di tingkap.

Dr Jessada berkata suhu badan mereka yang pada mulanya rendah mungkin disebabkan oleh keadaan mereka yang terperangkap tanpa makanan serta berada di kawasan lembap, dan terpaksa menyelam untuk tempoh yang lama dalam perjalanan mereka keluar dari gua itu.

“Remaja lelaki terbabit sering lapar kerana tubuh mereka memerlukan makanan. Pagi ini kumpulan pertama remaja lelaki itu meminta roti dan lepa coklat, oleh kerana mereka adalah atlet, tubuh mereka dapat menentang penyakit dengan baik.

Mereka masih bergantung kepada titis salius kerana doktor menyalurkan ubat secara intravena,” katanya.

Kesemua remaja lelaki itu dibawa keluar dari gua tersebut dengan mata tertutup bagi melindungi mata mereka.

Penglihatan kumpulan pertama empat remaja itu sudah kembali normal namun kumpulan kedua masih memakai cermin mata hitam.

Setakat pagi Selasa, empat remaja lelaki dan seorang jurulatih bola sepak mereka masih terperangkap dalam gua itu.

Menurut laporan antarabangsa, petugas pasukan penyelamat telah memulakan misi menyelamat pada hari ketiga untuk mengeluarkan baki lima orang yang masih terperangkap.

Kumpulan 13 orang itu telah memasuki kompleks gua terbabit selepas menjalani latihan bola sepak pada 23 Jun dan terperangkap dalam banjir kilat yang melanda akibat hujan lebat di kawasan tersebut lapor Bernama.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");