Perak Hari Ini

MB Perak Hargai Tugas Pendidik

TAPAH: Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu menyifatkan tugasan sebagai pendidik di zaman moden ini jauh lebih besar dan mencabar.

Beliau dalam masa yang sama turut menyanjungi warga pendidik yang berusaha gigih mendepani cabaran dalam membangunkan anak bangsa dan memajukan negeri melalui teras pendidikan.

“Tugas para guru kini bukan sahaja mengajar murid dalam ilmu mata pelajaran, tetapi secara langsung menyediakan murid-murid untuk berdepan dengan anjakan ekonomi dunia yang bakal menyaksikan kepupusan sebahagian dari kerja-kerja konvensional yang ada sekarang dan akan diambil alih oleh robot dan pelbagai sistem automasi.

“Bagaimanapun, kemajuan dan kecanggihan yang dibawa oleh teknologi hanyalah alat bagi membantu proses pengajaran. Ia tidak akan mampu menggantikan peranan guru sebagai pendidik sejati kepada umat manusia.

“Survival generasi anak-anak kita dalam Revolusi Industri ke-4 tidak hanya bergantung kepada kemahiran mereka dalam bidang teknologi dan automasi, tetapi juga kekuatan emosi dan spiritual.

 

Ahmad Faizal dalam masa yang sama turut mengakui tanggungjawab sebagai pendidik bukanlah satu tugas mudah malah tugasan guru turut merangkumi mengambil tahu dan memahami kekangan yang dihadapi setiap pelajar.

Disebalik setiap kekangan itu pula katanya, memerlukan pendekatan yang berbeda untuk mencari jalan keluarnya.

“Saya dengan rendah hati menyeru para guru agar terus memainkan peranan sebagai pendidik, tidak sekadar mengajar ilmu berdasarkan mata pelajaran yang dikhususkan.

“Setiap pelajar ada kekurangan dan keisitimewaan masing-masing, mungkin mereka menghadapi masalah dalam keluarga sehingga terbawa-bawa ke sekolah atau menjejaskan pelajaran dan sikap mereka. Pada para guru lah kita bergantung harapan supaya dapat membantu mengesan dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya memahami, kekangan tugasan mungkin menyebabkan sesetengah guru mungkin tidak mahu memberi perhatian kepada pelajar-pelajar yang bermasalah khususnya isu disiplin dan sebagainya.

“Jika dulu, seorang ayah menghadiahkan rotan kepada guru untuk mengajar anaknya di sekolah, tetapi di zaman ini, sebaliknya apabila para guru diancam dengan pelbagai tindakan undang-undang hanya kerana ingin membetulkan kesilapan dan kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak mereka di rumah.Tetapi itulah yang membezakan iltizam diantara seorang pendidik sejati dan seorang pengajar.

Beliau menaruh sepenuh keyakinan bahawa pendidik adalah insan yang terpilih untuk memikul tanggungjawab berat demi masa depan anak-anak generasi pewaris masa depan negara.

Terdahulu, Ahmad Faizal ditemui di Majlis Sambutan Perayaan Hari Guru 2018 Peringkat Negeri Perak di Sekolah Menengah Sains Tapah di sini hari ini.

Pada majlis tersebut turut disampaikan dua anugerah khas iaitu Tokoh Guru 2018 kepada Mohd Ardani Yunos dan Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2018 kepada Zulkurnaini Hussin.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");