Berita Hari Ini

Miskin Bukan Alasan ‘Jual Anak’, Tegas Zuraida

Ibu bapa dari keluarga berpendapatan rendah tidak sepatutnya mengahwinkan anak-anak mereka di bawah umur sebagai cara untuk menjamin masa depan yang lebih baik, kata Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata ibu bapa sedemikian sebaliknya perlu mendekati agensi kerajaan berkaitan untuk mendapatkan bantuan bagi anak-anak mereka.

“Kalau keluarga itu miskin, saya harap ibu bapa keluarga miskin jangan menjual anaknya dengan cara begini.

“Cari agensi-agensi yang mampu membantu untuk menyekolahkan anak mereka ataupun untuk memberi bantuan kepada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Umum Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak oleh Institut wanita Berdaya (IWB) di Tanjong Sepat, Kuala Langat.

Beliau juga menasihati golongan lelaki yang berhasrat membantu keluarga terbabit supaya ikhlas dan memberi bantuan dengan cara yang betul.

“Dan kepada lelaki-lelaki yang nak ambil anak-anak gadis yang muda ini, saya nak cadangkan pada mereka, kalau dia ikhlas dan nak tunjukkan ehsan, berikan sumbangan supaya anak-anak ini dapat membesar dengan cara yang betul.

“Bukanlah cara berkahwin. Itu bukanlah cara yang saya rasa jalan yang mudah, jalan yang tak akan memberi kesan positif kepada anak-anak ini di masa akan datang,” tegasnya.

Mengulas kes perkahwinan melibatkan budak berumur 11 tahun dan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Kelantan baru-baru ini, Zuraida berkata kes itu melibatkan unsur sexual grooming (persediaan seksual), berdasarkan laporan bahawa kanak-kanak itu didekati sejak berusia tujuh tahun.

Zuraida, yang juga ketua Wanita Pakatan Harapan (HARAPAN) dilantik mengetuai IWB yang ditubuhkan ketika Datuk Seri Azmin Ali menjadi Menteri Besar Selangor.

Beliau berkata IWB telah merancang 16 taklimat awam di seluruh negara dan sesi hari ini merupakan program kesembilan yang dihadiri seorang pakar dalam pencegahan penderaan seksual kanak-kanak.

“Saya berharap dengan program ini semua pihak akan dapat menjadi ejen untuk menyampaikan maklumat kepada orang-orang terdekat mereka agar memberikan kesedaran pencegahan penderaan seksual kepada kanak-kanak,” katanya.

Antara lain, beliau berkata taklimat itu bertujuan mendidik pemimpin masyarakat, ibu bapa dan guru-guru mengenai cara mengenal pasti tanda-tanda kanak-kanak diganggu dan didera secara seksual atau menjadi mangsa “sexual grooming”.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");