Perak Hari Ini

Pembangunan Pangkor Sebagai Pulau Bebas Cukai Bakal Dikaji Semula

LUMUT: Kerajaan Negeri Perak akan mengkaji semula pengumuman pembangunan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai, sebagaimana yang dirancang pentadbiran kerajaan persekutuan terdahulu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut juga akan dirujuk kembali kepada kerajaan persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Jelasnya, kesemua senarai barangan yang dikecualikan daripada dikenakan cukai dan yang sebaliknya juga akan turut dikaji.

“Apa sahaja usaha untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Pulau Pangkor, kita akan beri sokongan penuh.

“Kita mahu Pulau Pangkor terus dikenali sebagai pulau peranginan utama di negara yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan warga tempatan malah pelancong luar,” katanya.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri turut berhasrat untuk membangunkan pulau peranginan tersebut setanding dengan Pulau Pinang dan Pulau Langkawi, Kedah.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Raya Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), di Pangkalan TLDM dekat sini, pada Jumaat.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Panglima Armada Barat TLDM, Laksamana Datuk Mohamad Adib Abdul Samad serta Pegawai Daerah Manjung merangkap Yang Di Pertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip.

Tahun lalu, menerusi pembentangan Bajet 2018, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengisytiharkan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai tetapi pengecualian cukai tersebut tidak termasuk minuman keras, rokok dan kenderaan bermotor.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");