Jenayah

Pembantu Makmal Didakwa Bunuh Rakan Sekerja

BANTING: Seorang pembantu makmal Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh rakan sekerjanya di kolej berkenaan pada 11 Julai lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Abdul ‘Azhim Mohamad, 28, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Isa Md Nor.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh sehingga menyebabkan kematian Zaimah Mahmod, 57.

Perbuatan itu dilakukan di Kolej Vokasional Sultan Abdul Samad, antara jam 1.30 tengah hari hingga 3 petang lapor Berita Harian.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Basri manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret menetapkan 17 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan penyerahan laporan kimia serta dokumen perubatan.

Media sebelum ini melaporkan mayat Zaimah ditemui di dalam stor di pejabatnya dengan kesan tikaman di leher dan badan selain turut dicekik.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Azizan Tukiman dilaporkan berkata, polis menemui mayat berkenaan selepas menerima panggilan daripada suspek yang memaklumkan dia baru membunuh seorang wanita kerana sakit hati dengan sikap mangsa yang kerap menyindirnya mempunyai hubungan sulit dengan rakan sekerja.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");