Berita Hari Ini

Pengenalan Semula SST Kurang Membebankan

PETALING JAYA: Walaupun semua bentuk cukai penggunaan akan menyebabkan peningkatan harga, seorang profesor ekonomi menjangkakan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara umumnya kurang membebankan berbanding ketika pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dahulu.

Bercakap kepada FMT, Prof Dr Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya berkata, GST lebih komprehensif berbanding SST.

Bagaimanapun katanya, pengguna barangan yang diliputi SST akan membayar harga lebih tinggi berbanding ketika GST dilaksanakan kerana kadar SST adalah 4% lebih tinggi daripada kadar GST.

Beliau memberi respons terhadap kenyataan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa kadar sifar GST tidak menyebabkan harga kebanyakan barangan turun, sementara SST pula akan meningkatkan lagi harga.

Nazari berkata, harga tetap akan meningkat tanpa mengira cukai baru yang diperkenalkan sekiranya berlaku pertumbuhan pinjaman bank.

“Penyebab utama inflasi bukan cukai, tetapi penciptaan wang oleh bank apabila mereka memberi pinjaman,” katanya. “Pemberian pinjaman mencipta lebih banyak wang dalam sistem. Apabila penawaran wang bertambah pada kadar lebih tinggi daripada pertumbuhan benar sektor ekonomi, maka inflasi akan berlaku.”

Beliau bersetuju dengan pendapat ramai penganalisis bahawa GST lebih telus berbanding SST kerana ia memadankan tuntutan yang dibuat dengan urus niaga yang dilakukan.

“Apabila penjual memuat naik jualannya ke dalam sistem, dan pembeli bersetuju membelinya, maka berdasarkan data yang terdapat dalam invois, cukai inputnya dijamin dengan syarat penjual telah membayar harganya. Hal ini tidak berlaku di bawah SST.”

Beliau berkata, tidak banyak boleh dibuat oleh kerajaan bagi menambah ketelusan dalam SST, sebaliknya kerajaan harus memberi tumpuan untuk meningkatkan ketelusan dalam perbelanjaannya.

Institut Demokrasi dan Hal-ehwal Ekonomi (Ideas) baru-baru ini, dalam kertas dasarnya menggesa diperkenalkan apa yang dinamakannya SST Diperbaharui, yang merupakan sistem cukai yang menggabungkan ciri-ciri GST dan SST.

RSST menyerupai SST sebagai sistem cukai satu aras yang dikenakan di peringkat pengilang atau pengimport. Ia akan menyaksikan kadar rata 5% dikenakan ke atas syarikat dengan pendapatan RM500,000 atau lebih.

Badan pemikir itu mencadangkan resit jualan akan menentukan jumlah cukai yang perlu dibayar kepada kerajaan dan pematuhannya dipermudahkan supaya pembayaran boleh dibuat secara atas talian dan dalam masa singkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Ideas, Ali Salman berkata, GST bukanlah penyebab utama peningkatan harga dalam beberapa tahun kebelakangan ini, sebaliknya ia berlaku berikutan kekangan penawaran dan perubahan permintaan.

Berhubung kemungkinan berlakunya kegiatan pencatutan kerana kurangnya ketelusan di bawah SST, Ali berkata, kawalan harus datang daripada kuasa pasaran, bukan kerajaan.

Kerajaan sebagai penyelia harus memastikan peniaga tidak terlibat dalam kegiatan anti-persaingan, katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");