Panasnya Hari Ini

PRK Sungai Kandis: PAS Sedia Bincang Dengan UMNO

KUALA LUMPUR: PAS sedia berbincang dengan UMNO berhubung cadangan mengemukakan hanya seorang calon pembangkang pada pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis, 4 Ogos ini.

Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan, berkata pihaknya menunggu perbincangan diadakan kerana berpendirian pembangkang sewajarnya menghantar seorang saja calon pada PRK kali ini.

“Mewakili parti mana sekalipun, ia wajar dibincangkan (antara PAS dan UMNO).

“Jika PAS diminta meletakkan calon, semua parti pembangkang sewajarnya bekerjasama mengalah calon Pakatan Harapan (PH), demikian juga sebaliknya,” katanya lapor NSTP, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa UMNO akan berbincang bersama PAS untuk meletakkan hanya seorang calon pembangkang bertanding pada PRK Sungai Kandis.

Ahmad Zahid dilaporkan berkata, kerjasama itu adalah strategi pihak pembangkang dalam usaha memastikan pertembungan satu lawan satu, pada PRK itu sekali gus memberikan saingan sengit.

Sementara itu, ditanya adakah PAS bersedia membantu jentera UMNO jika calon yang dipilih adalah daripada parti UMNO, Nasrudin berkata, tidak timbul isu membantu calon parti itu, sebaliknya tindakan itu diambil demi menumbangkan calon PH.

“Isunya ialah pembangkang perlu ada konsensus untuk mengalahkan calon PH sebagai satu isyarat yang jelas bahawa rakyat menolak corak dan gaya kepemimpinan serta pemerintahan PH hari ini selepas berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong susulan penyandang kerusi berkenaan Mat Shuhaimi Shafiei daripada PKR meninggal dunia akibat kanser limfoma pada 2 Julai lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Allahyarham Mat Shuhaimi memperoleh 23,998 undi menewaskan calon BN daripada UMNO, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon PAS, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) Hanafiah Husin (76).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 4 Ogos sebagai hari pengundian, manakala hari penamaan calon pada 21 Julai ini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");