Berita Hari Ini

SOSMA Akan Dimansuhkan – PM

SHAH ALAM: Kerajaan akan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi memberi keadilan kepada rakyat, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, rakyat akan dilindungi dengan undang-undang yang adil supaya setiap kesalahan yang dilakukan ditentukan pihak mahkamah.

Beliau berkata, ada undang-undang di negara ini yang didapati menekan dan bersifat zalim kepada rakyat diperkenalkan ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“SOSMA (contohnya) membolehkan kerajaan tangkap sesiapa saja tanpa dibawa ke mahkamah.

“Pakatan Harapan akan ikut undang-undang. Ada undang-undang negara ini kita kuat kuasakan supaya rakyat tak ditindas dengan kerajaan yang tak peduli dengan undang-undang negara.

“Tak macam Najib. Jika tahanan mati, tidak akan ada inkuiri,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Kempen Tabung Harapan Malaysia, di sini, pada Ahad, sebagaimana dilaporkan BH Online.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Terdahulu, majlis berkenaan yang dianjurkan Gabungan Persatuan Cina Klang menyerahkan replika cek berjumlah RM3,479,100 kepada Tabung Harapan.

Dr Mahathir berkata, ketika pentadbiran negara diambil alih PH, kerajaan baharu mendapati kerosakan yang dilakukan Barisan Nasional (BN) jauh lebih besar daripada yang dijangkakan.

Katanya, kerosakan terhadap negara jauh lebih teruk kerana bukan hanya wang yang hilang, malah jentera negara juga didapati ada yang disabotaj.

“Jadi kami terpaksa mengambil tindakan dengan memecat beberapa pegawai yang terbabit mempertahankan kerajaan terdahulu.

“Mereka (BN) beri kerosakan besar pada negara. Untuk memulihkan semula, kerajaan sekarang memerlukan masa.

“Sekarang, dia (Najib) pula kata jangan ambil tindakan terhadap usaha (kerajaan terdahulu) kerana BN,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin mampu mengatasi masalah yang ditimbulkan oleh kerajaan terdahulu dengan adanya sokongan dari rakyat.

“Malam ini jelas yang hadir untuk derma kepada Tabung Harapan. Walaupun kita dapat hanya beberapa juta, tetapi yang penting kesanggupan rakyat demi negara,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");