Berita Hari Ini

WhatsApp Sekat Pengguna India

NEW DELHI – Aplikasi mesej WhatsApp mengumumkan untuk mengehadkan penyebaran mesej oleh seramai 200 juta penggunanya di India dalam usaha menghentikan pembunuhan di luar undang-undang oleh orang ramai dan mengelak dikenakan tindakan oleh New Delhi.

India merupakan pasaran terbesar WhatsApp. Lebih 20 orang maut akibat dibelasah oleh penduduk awam di India sejak dua bulan lalu selepas mangsa dituduh menculik kanak-kanak dan melakukan jenayah lain berikutan mesej palsu mengenai jenayah yang tular tanpa kawalan melalui WhatsApp.

Lewat kelmarin, kerajaan India mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas WhatsApp dengan alasan, ‘medium’ yang digunakan untuk menyebar ‘khabar angin berniat jahat’ itu tidak boleh lari daripada bertanggungjawab.

Akur dengan tekanan New Delhi, WhatsApp yang dimiliki oleh Facebook mengumumkan semalam bahawa setiap pengguna di negara itu boleh membuat sebaran atau ‘forward’ mesej kepada lima kenalan atau kumpulan sembang sahaja.

Sebagai tambahan, WhatsApp juga akan membuang butang perkongsian segera di sebelah mesej media, demikian menurut satu kenyataan, sebagaimana dilaporkan Kosmo Online.

“Kami yakin bahawa perubahan-perubahan ini yang akan terus dinilai, akan dapat membantu mengekalkan WhatsApp seperti tujuan asalnya iaitu aplikasi mesej peribadi,” kata syarikat itu.

WhatsApp juga telah membeli iklan muka penuh dalam akhbar-akhbar di India untuk berkongsi tip mengenali maklumat palsu.

Bagaimanapun, Kementerian Teknologi Maklumat India menyatakan lewat kelmarin bahawa langkah penyiaran iklan oleh WhatsApp itu belum mencukupi.

“Penyebaran meluas mesej tidak bertanggungjawab dalam kuantiti yang besar menerusi platform mereka masih belum diselesaikan secara wajar oleh WhatsApp,” demikian menurut kementerian itu.

“Jika (WhatsApp) hanya berdiam diri, ia boleh dianggap sebagai subahat dan berdepan tindakan undang-undang,” tambah kenyataan sama.

Pengguna di India melakukan lebih banyak penyebaran mesej, gambar dan video berbanding pengguna negara lain di dunia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");