Perak Hari Ini

100 Hari PH Menerajui Negara: Apa Kata Rakyat?

IPOH: Hari ini genap 100 hari pemerintahan kerajaan yang dipimpin Pakatan Harapan (PH), selepas berjaya membentuk majoriti mudah dalam Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) di Putrajaya dan menukar pentadbiran di beberapa negeri di Malaysia termasuk di Perak.

PerakToday hari ini cuba mendapatkan pandangan orang ramai berhubung tadbir urus pemerintahan PH serta 10 janji dalam 100 hari yang terkandung dalam Buku Harapan.

Bagi Ibrahim Wong Abdullah, 41, keterhadan mengakses beberapa maklumat di dalam pentadbiran terdahulu menjadikan mengapa PH tidak dapat melaksanakan kesemua janji tersebut.

“Kalau dilihat, daripada 10 janji itu hanya perkara dalam mahu menghapuskan hutang peneroka Felda dan pengenalan ‘Skim Peduli Sihat’ sahaja yang masih tiada perkembangan.

“Ini mungkin disebabkan beberapa masalah seperti dari sudut keadaan realiti sebenar kewangan negara. Namun, secara umum saya berpuas hati dengan pentadbiran PH,” katanya.

Menurut V.Kesavan, 31, pula, inisiatif Kerajaan Negeri Perak dalam menambah-baik pemberian air percuma kepada golongan yang memerlukan amatlah disambut baik.

Selain itu, Zuraidah Mohd Sani, 41, berkata, kerajaan kini dilihat lebih telus dan berani memberi ruang kepada semua pihak, termasuk parti-parti pembangkang untuk memberikan pandangan serta kritikan kepada PH menerusi media-media arus perdana.

Ujarnya, ia sebagai bukti bahawa kerajaan pimpinan PH mengamalkan budaya politik matang.

Namun, bagi Muhammad Amir Asyraf, 31, kerencatan dalam melaksanakan 10 janji dalam 100 hari oleh PH dapat dijadikan pengajaran kepada semua parti politik agar mengariskan semua perkara dalam manifesto mereka mengikut keadaan dan realiti sebenar.

Selain turut senada dengan Amir, Muhammad Shakeer Said, 31 berkata kerajaan pimpinan PH harus meneruskan agenda membantu membangunkan masyarakat luar bandar dengan lebih serius.

“Semenjak tertubuhnya kerajaan selepas PRU14, jarang kita dengar pendirian mahupun dasar khusus yang akan dan sedang diumumkan kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar.

“Rakyat luar bandar ini luas, bukan setakat yang tinggal di Felda. Ia termasuk yang tinggal di kawasan pendalaman di semenanjung serta di Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Ali Basri, 45, adalah tidak adil jika hendak membuat perbandingan antara pentadbiran PH yang baru menjangkau 100 hari berbanding pentadbiran terdahulu.

“Kita memberi mandat kepada PH untuk menerauji kepimpinan negara bukan untuk 100 hari sebaliknya untuk tempoh lima tahun. Beri ruang kepada mereka untuk melaksanakan semua janji PRU14 dan kita menilainya semula pada penghujung tempoh penggal nanti,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");