Berita Hari Ini

Air Selangor Nafi Dakwaan Bekas MB

SHAH ALAM – Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menafikan dakwaan bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mengatakan rakyat Selangor akan membayar 10 kali ganda nilai Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) selepas pengambilaihan dibuat.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman dalam satu kenyataan media hari ini memberitahu, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana nilai syarikat Splash bukan RM250 juta.

Beliau berkata, angka itu diperolehi setelah kadar pulangan sebanyak 12 peratus ke atas pelaburan saham yang dibuat sejak perjanjian konsesi bermula dikira dari permulaan perjanjian konsesi pada Januari 2000 sehingga 31 Disember 2012 dan setelah ditolak dengan dividen yang dibayar sebelum ini.

Berdasarkan kaedah itu katanya, angka akhir sebanyak RM250 juta diperolehi dan angka itulah yang berjumlah RM250 juta yang ditawarkan kepada pemegang saham Splash pada tahun 2013.

Menurutnya, kenyataan kewangan Splash yang diaudit, nilai buku bersih Splash pada 31 Mac 2013 adalah RM1.84 bilion dan tawaran berjumlah RM250 juta itu yang dibuat mulai tahun 2013 adalah pada diskaun sebanyak 86 peratus kepada nilai buku bersih Splash.

“Pengambilalihan Splash adalah dilaksanakan berdasarkan prinsip willing buyer, willing seller…Oleh itu, pihak penjual dan pembeli perlu setuju sebelum pengambilalihan boleh dimuktamadkan.

“Dalam tempoh lima tahun ini, pemegang saham Splash menolak cadangan untuk menjual Splash pada harga RM250 juta memandangkan diskaun yang begitu besar ke atas nilai buku bersih Splash, tambah lagi akibat daripada pengambilalihan Splash yang tertangguh dalam tempoh tersebut, jumlah tertunggak yang dihutang kepada Splash untuk pembelian air terawat kini mencecah RM4.7 bilion,” katanya, lapor Sinar Online.

Katanya, disebabkan itu, pada April 2018 Splash memulakan prosiding undang-undang ke atas hutang yang tertunggak.

Dalam perkembangan lain, Suhaimi berkata, Air Selangor juga membantah dan menolak dengan sekeras-kerasnya dakwaan yang keistimewaan diberikan kepada Splash.

“Diskaun yang lebih tinggi digunakan untuk pengambilalihan Splash jika dibandingkan dengan diskaun yang digunakan dalam pengambilalihan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB) pada tahun 2015, sebuah syarikat rawatan air yang terdahulunya dimiliki Puncak Niaga Holdings Berhad.

“Di dalam transaksi PNSB, Air Selangor membayar harga yang bersamaan dengan 0.86 kali nilai buku bersih, iaitu diskaun sebanyak 14 peratus ke atas nilai buku bersih aset konsesi air PNSB dan dalam transaksi itu, Air Selangor tidak mengambilalih aset bukan konsesi air yang dimiliki PNSB,” katanya.

Di dalam transaksi Splash pula katanya, nilai tawaran Air Selangor bersamaan dengan 0.72 kali nilai buku bersih Splash iaitu diskaun sebanyak 28 peratus ke atas nilai buku bersih Splash.

Beliau berkata, dengan pengambilalihan Splash dan penyempurnaan penstrukturan semula industri perkhidmatan air, banyak manfaat yang akan diperoleh.

Namun katanya, segala manfaat ini tidak dapat dinikmati tanpa penyelesaian ke atas pengambilalihan Splash dibuat terlebih dahulu selaras dengan peringkat terakhir penstrukturan semula industri air Selangor.

“Pemegang tunggal saham Splash iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Berhad pada 9 Ogos 2018 bersetuju menerima tawaran Air Selangor dan dengan persetujuan itu, penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun 2018,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");