Berita Hari Ini

Jalan Sultan Ismail-Jalan Tun Razak Ditutup 14 bulan

KUALA LUMPUR: Laluan susur keluar dari Jalan Sultan Ismail menuju Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Tun Razak (arah utara) akan ditutup selama 14 bulan, bermula Sabtu ini.

Turut ditutup ialah dua lorong di Jalan Barat selama tiga bulan, juga bermula Sabtu ini.

Kedua-dua laluan berhampiran tapak pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) itu akan ditutup berikutan kerja pembinaan infrastruktur dan naik taraf jalan untuk projek berkenaan.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Pihak Berkaitan TRX City Sdn Bhd (TRXC), Mohamed Razib Ahmad Din, berkata penutupan laluan itu juga bagi membolehkan kerja pembinaan TRX dipercepatkan dan siap mengikut jadual.

“Sebahagian Jalan Barat akan ditutup bermula 11 Ogos ini hingga 18 November depan, manakala susur keluar Jalan Sultan Ismail ke Bulatan Kampung Pandan dan Jalan Tun Razak bermula 11 Ogos tahun ini hingga 31 Oktober 2019.

“Penutupan dijangka bermula tengah malam Sabtu ini dan dilaksanakan secara berterusan, iaitu 24 jam sehari sepanjang tempoh berkenaan.

“Kami berharap pengguna jalan raya dapat bersabar dan mematuhi papan tanda serta arahan pihak berkuasa sepanjang tempoh penutupan laluan,” katanya pada sidang media mengumumkan penutupan laluan itu di sini, hari ini.

Mohamed Razib berkata, sebanyak 2,685 kenderaan dijangka terbabit dengan penutupan Jalan Sultan Ismail-Jalan Tun Razak/Bulatan Kampung Pandan pada waktu puncak, iaitu jam 7 hingga 8 pagi, manakala 1,340 kenderaan di Jalan Barat bagi waktu sama.

Katanya, beberapa laluan alternatif disediakan bagi memudahkan pengguna dan mengurangkan kesesakan jalan raya di kawasan terjejas dengan penutupan itu.

“Pengguna kenderaan ringan dari Jalan Barat menuju ke arah Jalan Imbi boleh menggunakan Jalan Khoo Teik Ee sebagai laluan alternatif.

“Pengguna dari arah Jalan Sultan Ismail pula perlu membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Perkasa untuk menggunakan Jalan Tun Razak arah utara atau Bulatan Kampung Pandan bagi kenderaan ringan, manakala kenderaan berat perlu menggunakan Jalan Cochrane dari lampu isyarat sama,” katanya.

Mengulas mengenai penutupan sebahagian Jalan Tun Razak sejak beberapa bulan lalu, Mohamed Razib berkata, laluan itu dijangka dibuka semula pada 31 Disember 2019.

“Kami akan sentiasa memantau keadaan trafik dan perjalanan projek supaya tidak menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya dan akan membuat penambahbaikan pada laluan yang ditutup jika perlu,” katanya.

Bulan lalu, kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek pembangunan TRX dengan memperuntukkan dana tidak lebih RM2.8 bilion kepada TRXC.

Setakat ini, 80 peratus daripada pembangunan prasarana fasa pertama TRX siap dibina dan dijangka beroperasi suku pertama tahun depan, termasuk Menara Exchange 106 dan Menara Prudential.

Fasa kedua infrastruktur yang membabitkan plaza awam, laluan pejalan kaki dan Taman Pusat seluas empat hektar dijangka siap pada 2020 serentak dengan pembukaan Exchange Mall dan Ibu Pejabat HSBC Malaysia dan Affin Bank.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");