Berita Hari Ini

Macai Politik: MBM Terima Maaf Dengan Hati Terbuka

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menerima permohonan maaf Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung isu ‘macai politik’, dengan hati terbuka.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Saparudin Yusup berkata MBM menerima penjelasan Syed Saddiq dan turut berterima kasih atas teguran supaya organisasi itu terus memperjuangkan isu masyarakat keseluruhannya.

“MBM juga memaklumkan terdapat juga kekhilafan dalam tindakan MBM yang perlu diperbetulkan. Ini merujuk kepada sokongan terbuka MBM kepada parti politik menyebabkan rasa kurang senang dan salah tanggapan masyarakat kepada peranan pertubuhan belia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Syed Saddiq hari ini memohon maaf berikutan tindakan beliau melabelkan beberapa persatuan belia sebagai ‘macai politik’ dan menjelaskan gelaran itu hanya ditujukan kepada persatuan yang secara terbuka menyokong parti politik terutamanya ketika musim kempen PRU14, lepas.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Gelar ‘macai politik’, Syed Saddiq mohon maaf ]

Dalam pada itu, Ahmad Saparudin berkata kehadiran Syed Saddiq bersama pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ke pejabat urusan MBM hari ini, turut membincangkan secara mendalam antaranya mengenai takrifan had umur belia dan isu neutralisasi pertubuhan belia daripada kepimpinan politik.

“Menteri juga mahukan MBM memberi perhatian kepada belia marginal agar suara mereka tetap diperjuangkan dan dibela. Bagi maksud itu, menteri bersetuju agar mesyuarat penyelarasan tertinggi antara MBM dan KBS dilakukan bagi memberi langkah penyelarasan segera,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata pertemuan itu juga amat positif dalam menangani kemelut pertubuhan belia seperti isu bantuan pentadbiran, pengiktirafan, aktivisme belia dan hala tuju pertubuhan belia.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");