Perak Hari Ini

Sekeluarga Disyaki Edar Dadah Di Kawasan Perumahan

IPOH: Empat sekeluarga termasuk seorang rakan berusia antara 15 sehingga 33 tahun ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Taiping, di sebuah rumah di Taman Pengkalan Maju, Taiping, semalam.

Hasil serbuan dijalankan sekitar jam 10:30 pagi itu, polis mendapati satu paket plastik dadah disyaki jenis heroin yang dianggarkan seberat 460 gram bernilai RM13,000 dan lima paket disyaki syabu seberat 3.0 gram bernilai RM450, dijumpai di dalam rumah tersebut bersama ditahan.

Turut dirampas, tiga buah kereta, dua motosikal, barang-barang kemas dan wang tunai yang kesemuanya bernilai RM60,480.

Kesemua suspek adalah penganggur kecuali seorang remaja lelaki, iaitu adik bongsu kepada suspek utama, yang kini sedang berada di Tingkakan Tiga di sebuah sekolah menengah di daerah tersebut.

Ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah.

Bagaimanapun, tiga daripada lima suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Pihak polis tidak menolak kemungkinan rumah tersebut dijadikan sarang pengedaran dadah di sekitar kawasan perumhan tersebut selain pelajar yang ditahan itu juga berkemungkinan hanya secara kebetulan berada di dalam rumah berkenaan.

Sementara itu, pada hari yang sama, sekitar jam 2:30 pagi, sepasukan anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun di Taman Bertuah, dekat sini.

Menerusi hasil pemeriksaan, polis berjaya mendapati 31 paket plastik dadah disyaki jenis heroin yang beranggaran berat 431.5 gram, bernilai RM12,944.

Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati penganggur tersebut positif dadah jenis Morphine.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, Asisten Komisioner Polis (ACP), R.Ravichandran berkata kesemua suspek bagi kes-kes berkenaan di siasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori, gantung sampai mati.

Semua mereka kini direman selama tujuh hari bermula hari ini.

“Kes seperti ini, sentiasa menimbulkan rungutan daripada masyarakat kerana mereka beroperasi di taman-taman perumahan. Mereka inilah yang menggalakkan penagih-penagih berkumpul di taman-taman perumahan untuk mendapatkan bekalan.

“Kami akan siasat dan cari sehingga ke lubang cacing, untuk mengenalpasti siapa yang terlibat dalam pengedaran dadah ini khususnya mereka yang berada di ‘bahagian atas'”, katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, dekat sini, pada Rabu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");