Perak Hari Ini

SPRM Diminta Siasat Tuntutan Palsu Terhadap PeKA 

IPOH:Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) digesa menyiasat secara terperinci terhadap tuntutan palsu oleh sebuah konsultan bagi Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA) melibatkan pelbagai tunggakan bayaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembagunan Belia dan Sukan Kerajaan Negeri, Howard Lee Chuan How berkata berikutan tuntutan palsu tersebut Lembaga Pengarah PeKA, Datuk Zainol Fadzi Paharudin telah membuat satu laporan kepada SPRM mengenai isu tersebut.

“Datuk Zainol telah menghubungi saya selepas beliau menerima satu notis mahkamah daripada Kumpulan Wang Simpnan Pekerja (KWSP) yang menyatakan tunggakan selama 8 bulan caruman dan saya telah mengarahkan untuk satu audit dalaman dijalankan,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati terdapat tunggakkan pembayaran Kumpulan Wang simpanan Pekerja (KWSP), bayaran bulanan Telekom Malaysia yang telah mencapai RM30,000 serta tunggakan bayaran bulanan ruang pejabat di aras 1 Terminal Amanjaya selama lapan bulan sebanyak RM80,000 yang tidak dijelaskan oleh pihak konsultan.

“Setelah audit dalaman selama sebulan yang dijalankan didapati banyak transaksi yang mencurigakan dan berkemungkinan membawa keuntungan peribadi syarikat konsultan.

“Pada setiap pembentangan daripada syarikat konsultan kepada lembaga pengarah sebelum menunjukkan kesemua bayaran telah dilaksanakan oleh mereka namun pembentangan itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Katanya, pada tahun 2012 konsultan tersebut telah dilantik oleh kerajaan terdahulu sebagai konsultan dalam bidang pencarian kerja serta upskilling dan reskilling yang bertindak melatih kakitangan Peka untuk menguruskan agensi tersebut melibatkan kontrak selama dua tahun.

Jelas Howard sebanyak RM133 ribu dibayar setiap bulan kepada syarikat tersebut bagi skop kerja dalam projek tersebut meskipun perjanjian servis tersebut hanya dimeterai pada 7 Januari 2013 dan dengan persetujuan bersama ia dilaksanakan pada Jun 2012.

“Kontrak antara syarikat konsultan dan PEKA adalah sehingga Mei 2018 yang lepas dan satu notis penamatan kontrak telah diberikan kepada syarikat itu pada hujung bulan Mei apabila berlaku peralihan kuasa,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengumumkan PEKA sebuah anak syarikat penuh milik kerajaan negeri akan distruktur semula dan diberikan penjenamaan baru iaitu Perbadanan Aspirasi Anak Perak atau singkatannya “PASAK” diharap mampu memberi impak baru kepada negeri ini.

 

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");