Perak Hari Ini

Tanah Kerajaan Negeri Tidak Boleh Berpindah Milik, Diceroboh

IPOH:Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu menegaskan bahawa Kerajaan negeri mengambil pendirian tegas yang mana tanah kerajaan negeri tidak boleh dipindah milik individu, terutama melibatkan aktiviti pencerobohan.

Bagaimanapun katanya atas budi bicara, kerajaan negeri boleh membenarkan tanah-tanah tersebut diusahakan dengan membuat permohonan menyewa atau boleh diberikan TOL.

“Tanah-tanah kerajaan negeri tidak boleh diberikan kepada individu sewenang-wenangnya kerana ia akan memberi kesan kepada jumlah rizab tanah atau dengan izin, “land bank” kerajaan negeri.

“Malah tanah adalah aset yang amat berharga kepada kerajaan sekiranya kerajaan negeri memberikan hak pemilikan kepada semua mereka yang menceroboh tanah kerajaan, ia akan membuka ruang atau dengan izin, membuka “floodgate” kepada lebih banyak aktiviti pencerobohan,” katanya pada sesi pergulungan persidangan pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Tambahnya tindakan tersebut akan memberi kesan jangka masa panjang kepada perancangan kerajaan untuk tujuan pembangunan, perumahan dan sebagainya di masa depan.

“Keputusan muktamad pemberian hak milik akan ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri yang mana-mana tanah kerajaan tidak boleh diterokakan atau diusahakan tanpa kebenaran yang sah dari Pihak Berkuasa Negeri,” katanya.

Katanya pihak yang menceroboh tanah kerajaan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Berkaitan pengusaha yang menyewa tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) yang hanya memberi tempoh sewaan 3 tahun dilihat terlalu singkat untuk pelaburan apa-apa projek pertanian.

“Penyelesaian terbaik ialah untuk memanjangkan tempoh penyewaan melalui perbincangan dua hala untuk mencapai situasi menang-menang kedua pihak.

“Permohonan pemilikan tanah kerajaan perlu menggunakan Borang Jadual (1) dan disertakan dengan pelan kawasan yang dipohon.

Bagaimanapun, para pengusaha tanaman boleh memohon sewaan tanah-tanah di bawah milik PKNP dan PPPNPk mengikut undang-undang sedia ada.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");