Jenayah

1 Oktober Keputusan Permohonan Bapa Altantuya

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 1 Oktober ini bagi mendengar semula permohonan sama ada keputusan kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu boleh diguna pakai bagi kes saman RM100 juta difailkan keluarga model itu.

Memetik laporan BH Online, Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memutuskan demikian selepas mendengar hujahan pihak plaintif dan defendan.

Mahkamah turut memutuskan tarikh perbicaraan bagi permohonan bapa Altantuya, Shaariibuu Setev pada 21 hingga 31 Januari depan.

Shaariibuu selaku plaintif memfailkan permohonan untuk mengguna pakai keputusan kes jenayah yang dalam saman sivil itu menerusi peguamnya pada Julai lalu.

Permohonan yang difailkan bapa Altantuya itu, antaranya membabitkan sabitan bersalah dua tertuduh utama kes pembunuhan warga Mongolia itu iaitu Azilah Hadhri dan Sirul Azhar.

Shaariibuu diwakili peguam Sangeet Kaur Deo, Tan Chee Kian, Harshaan Zamani dan Rayveni Asogan.

Pada 4 Jun 2007, bapa dan ibu Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta dua cucu lelaki mereka, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman terhadap Azilah, Sirul Azhar, penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan Kerajaan Malaysia, dengan menuntut pampasan RM100 juta.

Pada bulan lalu, Shaariibuu memfailkan permohonan supaya keputusan berkaitan kesalahan jenayah di Mahkamah Persekutuan berkaitan pembunuhan anaknya digunakan dalam saman sivil berkenaan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut bersetuju supaya kes pembunuhan berprofil tinggi itu dibuka semula selepas bertemu Shaariibu pada 20 Jun lalu.

Mahkamah Persekutuan pada Januari 2015 mendapati Azilah dan Sirul bersalah membunuh Altantuya dan menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati terhadap kedua-dua mereka.

Sirul, 45, bekas anggota polis sebelum ini menawarkan diri untuk mendedahkan siapa yang mengarahkan pembunuhan wanita itu jika dia diberikan pengampunan penuh oleh kerajaan baharu Malaysia.

Sirul yang kini dalam tahanan di Brisbane, Australia, selepas melarikan diri dari negara ini pada 2015, menegaskan bahawa dia diarahkan oleh ‘individu penting’ untuk membunuh wanita itu.

Altantuya dibunuh dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan gred tentera.

Kes pembunuhannya adalah aspek paling menggemparkan dalam skandal membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa terbabit dalam pembelian kapal selam Scorpene buatan Perancis pada 2002.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");