Perak Hari Ini

100 Anak Muda Perak, Termasuk Orang Asli Sertai Projek Rintis TVET

IPOH: Seramai 100 anak muda termasuk 25 daripada masyarakat Orang Asli di Perak terpilih bagi menyertai program latihan industri yang pertama di negara ini melibatkan kerjasama antara KLI Training Centre Sdn Bhd dengan Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd.

Projek rintis kerajaan negeri di bawah bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) itu bertujuan meningkatkan penglibatan belia dalam mengikuti latihan berbentuk amali bagi memenuhi keperluan pasaran kerja.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, program itu juga sebagai langkah kerajaan dalam mengatasi masalah pengangguran dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

Ujarnya, semua pelatih tersebut akan ditempatkan di cawangan-cawangan restoran Old Town serta diberi latihan sepenuhnya, sebelum mereka diserap masuk sebagai pekerja sepenuh masa.

“Program ini adalah perintis kepada banyak lagi latihan TVET untuk generasi belia di Perak.

“Ini bertepatan dengan misi kerajaan negeri untuk menjadi penggerak utama kepada agenda meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan generasi muda,” katanya menerusi teks yang dibacakan Setiausaha Politiknya, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, hari ini.

Selain itu, Pengasas Marina Island Pangkor, Datuk Ding Poi Chung turut menyumbangkan dana sebanyak RM120,000 bagi tujuan tajaan kepada para pelatih.

“Dato Ding sendiri adalah salah seorang produk dari program latihan kemahiran yang sangat berjaya.

“Dengan kemahiran beliau miliki, bekerja kuat sehingga berjaya menzahirkan sebuah pulau buatan yang mampu menjadi destinasi pelancongan terkenal di Perak, saya yakin program latihan ini dapat melahirkan lebih ramai usahawan hebat,” katanya.

Terdahulu, memorandum persefahaman (MoU) kerjasama itu ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif KLI Training Centre Sdn Bhd, Azizul Mohd Othman dan Ketua Pegawai Operasi Kopitiam Asia Pacific Sdn Bhd, Felix D Michael, dekat sini.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");