Perak Hari Ini

41 Projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar Di Perak Diteruskan

IPOH: Sebanyak 41 projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) di negeri Perak yang tertangguh sebelum ini akan diteruskan demi kebaikan masyarakat setempat.

Menterinya, Rina Mohd Harun berkata, keputusan untuk meneruskan kesemua projek yang bernilai RM191 juta itu diputuskan setelah kajian semula, dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan selesai dalam tempoh dua bulan.

Ujarnya, selain negeri Perak, semua 191 projek KPLB di seluruh negara juga turut diteruskan.

“Antara contoh projek di Perak yang kita teruskan ialah projek menaik taraf Jalan Simpang Raban ke Pengkalan Pipit yang bernilai RM20 juta, serta Projek menaik taraf jalan baharu dari Kamunting ke Anak Kurau. Ia dianggarkamn bernilai RM91 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada sesi kunjungan hormatnya ke Pejabat Menteri Besar Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dekat sini, pagi tadi.

Selain itu, ketika ditanya sama ada beliau akan memohon peruntukan tambahan untuk kementeriannya dalam pembentangan bajet yang akan datang, Rina berkata pihaknya akan berbuat demikian sekiranya ia mempunyai keperluan namun jelasnya, ia tetap bergantung kepada kedudukan semasa kewangan negara.

Pada perkembangan sama, dalam pertemuan empat mata antara beliau dengan Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu, sekitar 1 jam itu tadi, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk mengadakan Sambutan Hari Orang Asli Peringkat Kebangsaan pada Oktober ini, di Tapah.

Rina berkata pemilihan Perak sebagai lokasi penganjuran acara yang julung kali diadakan itu adalah kerana jumlah masyarakat Orang Asli di negeri ini antara yang teramai dalam negara.

Difahamkan, acara yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari Kaum Pribumi peringkat antarabangsa itu bakal dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");