Membawang Hari Ini

Aedy Ashraf Bukan Pelakon Bermusim

KUALA LUMPUR: Meskipun lakonan menjadi punca pendapatan utama, Aedy Ashraf tetap utuh berpegang kepada prinsip mendahulukan bakat dan bukan populariti kerana tidak mahu dikenali sebagai pelakon bermusim.

Mengakui selesa dengan jalan yang dipilihnya, Aedy bersyukur, bakatnya terus dipercayai penerbit tanpa perlu bersandar kepada cerita sensasi untuk menaikkan nama.

“Saya akui, ketika ini, populariti memainkan peranan penting untuk meraih pelbagai tawaran menarik. Namun, bagi saya, ia hanya sementara kerana lambat-laun, nama lain pula yang akan mengambil alih tempat.

“Saya tidak mahu menjadi artis bermusim. Saya mula serius berlakon sejak usia 17 tahun dan sampai hari ini, rezeki saya masih tidak putus. Alhamdulillah, saya selesa dengan kedudukan saya.

“Mungkin ada yang beranggapan, perjalanan seni saya mendatar, tetapi saya tidak ralat. Selagi mendapat kepercayaan penerbit dan pengarah, selain orang tahu saya boleh berlakon dengan baik, itu sudah memadai,” katanya.

Bakat yang mula dikenali menerusi filem, Tentang Bulan itu ditemui pada majlis pelancaran filem, Gol & Gincu Vol 2 yang bakal ditayangkan pada 25 Oktober ini, baru-baru ini.

Karya garapan Umi Salwana Omar itu turut menampilkan Ummi Nazeera, Sazzy Falak, Datin Diana Danielle dan Syafiq Kyle sebagai teraju utama.

“Saya sempat menonton semula Gol & Gincu bagi mendapatkan ‘feel’ sebelum memulakan penggambaran, tetapi saya pastikan lakonan saya tidak dibayangi watak terdahulu. Saya membesar dengan filem dan siri ini, jadi sudah tahu serba sedikit jalan ceritanya.

“Lebih menarik, saya bergandingan bersama teman baik, Syafiq Kyle dan ia memudahkan lagi proses penggambaran. Kami turut menyelitkan sedikit elemen komedi apabila menjayakan babak bersama bagi menghidupkan lagi jalan cerita.

“Saya tidak berani menaruh harapan terlalu tinggi untuk filem ini, namun saya berharap ia akan mendapat sokongan ramai. Menjadi sebahagian daripada legasi Gol & Gincu sudah membuatkan saya gembira dan bangga,” katanya.-BH

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");