Berita Hari Ini

AS Batal Dana AS$25 Juta 6 Hospital Palestin

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) bercadang memutuskan bantuan bernilai AS$25 juta (RM103.8 juta) kepada enam hospital yang merawat penduduk Palestin di Baitulmaqdis, kata pegawai Jabatan Negara mengesahkan semalam.

Pegawai itu berkata, keputusan terbabit susulan satu arahan Presiden Donald Trump bagi meneliti bantuan kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA) selain di Tebing Barat dan Gaza ‘bagi memastikan dana ini dibelanjakan menurut kepentingan AS dan memberi nilai kepada pembayar cukai negara itu.’

“Hasil penelitian kajian itu, atas arahan Presiden, kami akan mengalihkan kira-kira AS$25 juta yang pada awalnya dirancang untuk Rangkaian Hospital Timur Baitulmaqdis. Pembiayaan itu akan disalurkan ke projek berkepentingan tinggi di tempat lain,” katanya.

Penduduk Palestin memberi reaksi berang terhadap tindakan itu.

“Ini bukan satu formula pembangunan perdamaian, ini jelas tindakan tidak berperikemanusiaan dan tidak bermoral yang mengguna pakai kisah Israel untuk menyasar dan menghukum rakyat Palestin supaya berkompromi hak mereka terhadap kebebasan,” kata jurucakap pemimpin Palestin Mahmoud Abbas, Ahmad Shami.

“Tindakan ugutan politik itu bertentangan dengan norma kesopanan dan moral kemanusiaan,” tambah Hanan Ashrawi, anggota jawatan kuasa eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Pada masa lalu, dana AS membolehkan ramai penduduk Palestin memperoleh rawatan khusus seperti pembedahan jantung, penjagaan intensif atau dialisis kanak-kanak, tidak boleh diperoleh di Tebing Barat dan Gaza, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pihak berkuasa Palestin membantah sekeras-kerasnya keputusan Trump pada Disember 2017 untuk mengiktiraf bandar bertelingkah, Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. Mereka menuduhnya menggunakan bantuan sebagai jalan kasar memaksa mereka kembali ke rundingan damai dengan Israel.

Pentadbiran Trump tahun ini memutuskan dana kepada agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk pelarian Palestin (UNRWA) dan memotong sekitar AS$200 juta (RM830.38 juta) bayaran oleh USAID kepada penduduk Palestin.

Trump menjadikan jelas Khamis lalu, beliau sedang berusaha memaksa Palestin untuk berunding.

“Anda akan mendapatkan wang, namun kami tidak akan membayar sehingga membuat satu perjanjian. Jika kita tidak membuat perjanjian, kita tidak akan membayar,” katanya di sini.

Sebaliknya, Palestin berkata, kedudukannya semakin melemah dan menggalakkan tindakan radikal di seluruh Asia Barat. -AFP

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");