Berita Hari Ini

Bukan Peralat Agama, Cuma Membantu

SUNGAI PETANI: “Saya bukan nak mempergunakan agama, saya cuma nak bantu orang yang memerlukan bantuan tambahan berikutan musim peperiksaan hampir tiba.”

Itu kata seorang ustaz yang menawarkan perkhidmatan solat hajat dengan meletakkan kadar bayaran mengikut hajat tertentu, yang dianggap sebagai derma.

Risalah iklan diedarkan ustaz berkenaan yang tertera beberapa hajat seperti cemerlang peperiksaan, sihat dan pintar, sihat dan sembuh, maju perniagaan dan semua hajat yang baik dengan kadar bermula daripada RM10 hingga RM70 dan juga derma seikhlas hati itu viral di media sosial sejak semalam.

Ustaz yang sedang berkhidmat sebagai guru di salah sebuah sekolah di situ berkata, beliau terkejut selepas mengetahui risalah iklan yang diedarkan itu viral di media sosial kerana tidak merasakan tindakannya sebagai satu kesalahan.

“Kalau diikutkan, saya mula melakukan perkhidmatan ini sejak 2010 dan waktu itu orang yang meminta bantuan saya sering menekan dengan soalan bayaran walaupun saya sudah beritahu seikhlas hati.

“Jadi, harga itu adalah harga kebiasaan tetapi kalau orang tak mampu, dia boleh bagi ikut suka dia berapa nak bayar sebab itu kita letak perkataan derma pada iklan,” katanya.

Katanya, solat hajat dilakukan sekitar jam 2 hingga 3 pagi dan dilakukan secara bersendirian di rumahnya.

Dalam pada itu, ustaz berkenaan turut merasa kesal apabila niat baiknya untuk membantu orang ramai disalah anggap dan dituduh sebagai penunggang agama.

“Penunggang agama ini mungkin sebab orang nampak saya ambil bayaran, sebenarnya saya letak bayaran itu sebagai derma ikut kemampuan orang.

“Saya jadikan pekerjaan ini sebagai sumber pendapatan sampingan dan saya dapat pun tak banyak, kalau lepas iklan ini dapat permintaan banyak saya ada hasrat nak bantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima risalah iklan berkenaan yang tidak mahu dikenali, menyifatkan tindakan mengambil bayaran atas perkhidmatan solat hajat adalah tidak wajar.

“Saya terkejut apabila mendapati risalah iklan seperti ini berada dalam peti surat rumah saya. Pada saya, perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana individu berkenaan meletakkan jumlah derma secara khusus ke atas sesuatu hajat.

“Perkara ini boleh menimbulkan persepsi negatif kepada yang bukan Islam dan bagi orang Islam sendiri, mereka akan nampak benda ini sebagai satu jalan mudah,” katanya.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");