Perak Hari Ini

Cadangan Selaraskan Had Umur Berkahwin 18 Tahun Undang Pelbagai Reaksi Umum

IPOH: Masyarakat di semua peringkat mempunyai pandangan yang pelbagai berhubung isu hasrat kerajaan yang mahu menetapkan had umur minimum perkahwinan kepada usia 18 tahun.

Menurut guru di sebuah sekolah di sekitar Bandaraya Ipoh, Nur Sakinah Abdul Zubir, 41, beliau menyokong cadangan tersebut dan berpendapat kanak-kanak mahupun remaja di bawah umur 18 tahun, harus menitikberatkan soal pendidikan.

“Cabaran masa hadapan makin lama makin mencabar dan satu-satunya cara untuk anak-anak ini berjaya adalah melalui pendidikan dan bukan berfikir untuk berkahwin.

“Berkahwin bukanlah satu-satunya cara yang dapat mengeluarkan seseorang itu daripada kepompong kemiskinan. Hanya pencapaian pelajaran yang baik sahaja mampu,” katanya kepada Perak Today, di sini, hari ini.

Sementara itu, bagi penjawat awam, yang juga seorang bapa kepada dua cahaya mata, Muhammad Masrani Hamdan, 39, perkahwinan di bawah umur banyak memberi impak negatif kepada anak-anak khususnya melibatkan psikologi.

Katanya, mereka berkemungkinan mengalami tekanan perasaan apabila tatkala menjalani kehidupan dengan cara hidup yang jauh lebih matang berbanding umur mereka.

“Mungkin anak-anak yang berkahwin itu akan mengalami sedikit tekanan apabila dia melihat rakan-rakannya dapat menjalani kehidupan sebagai kanak-kanak normal dan dia pula tidak.

“Apabila seseorang itu berkahwin, sudah tentu harus memikul suatu tanggungjawab yang besar. Di tambah jika mempunyai anak pula. Remaja bawah umur yang masih mentah lagi dengan persekitaran semasa pasti akan mengalami tekanan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi guru di sebuah sekolah dalam daerah Tambun, Wan Muhammad Hadi Wan Sayed, 32, beliau tidak menyokong hasrat kerajaan tersebut sebaliknya bersetuju dengan pandangan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berpendapat cadangan tersebut boleh membuka ruang kepada perzinaan dalam kalangan remaja di bawah umur.

Ujarnya, perkahwinan mampu membendung masalah sosial tersebut daripada terus berleluasa pada masa kini.

“Apabila menyentuh soal perkahwinan, sudah semestinya ia melibatkan persetujuan dan persefahaman di antara ahli keluarga lelaki dan pasangannya.

“Ibu bapa tentunya sudah kenal anak mereka dan ibu bapa ini juga sentiasa telah serta akan memikirkan masak-masak untuk kebaikan masa hadapan anak mereka. Kita tidak boleh pukul rata soal ini. Lain orang, lain latar belakang hidupnya.

“Lagi pun kita ada Mahkamah Syariah yang hakim dan para peguam yang lebih arif tentang hal ini. Ada sebab mengapa sesuatu permohonan perkahwinan bawah umur itu diluluskan ataupun tidak,” katanya.

Untuk tambahan, sejak Januari 2013 sehingga Disember tahun lalu, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia telah merekodkan 5,362 permohonan kebenaran nikah bawah umur kanak-kanak beragama Islam.

Daripada jumlah itu, Perak dilaporkan mempunyai 266 permohonan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) pula merekodkan seramai 212 kanak-kanak bukan Islam seluruh negara telah berkahwin dengan golongan dewasa sepanjang tahun lalu.

Komen & Pendapat
Facebook
Twitter

Terbaru


!function(d,s,id){var js,fjs=d.getElementsByTagName(s)[0],p=/^http:/.test(d.location)?'http':'https';if(!d.getElementById(id)){js=d.createElement(s);js.id=id;js.src=p+"://platform.twitter.com/widgets.js";fjs.parentNode.insertBefore(js,fjs);}}(document,"script","twitter-wjs");